Langkah Berjaga-Jaga di Musim Tengkujuh
Disediakan Oleh : Pentadbir Portal & Sistem
Tarikh Kemaskini : 02/01/2008 [ ]
Jumlah Capaian: 52452
Sepertimana yang kita sedia maklum, negara kita pada kebiasaannya akan mula menghadapi musim tengkujuh sekitar pertengahan November dan akan berakhir pada Mac tahun berikutnya. Angin Monsun Timur Laut yang membawa hujan akan bertumpu ke negeri-negeri di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu, dan kemudian beredar ke selatan seperti Pahang dan Johor. Ketika itu, negeri-negeri di pantai timur akan menerima hujan berterusan manakala di pantai barat pula akan menerima hujan dan ribut petir. Musim tengkujuh yang berterusan biasanya akan membawa kesan negatif kepada alam sekitar seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya. Kejadian ini memerlukan pengendalian yang melibatkan sumber, peralatan dan tenaga manusia dari pelbagai agensi serta penyelarasan yang berkesan, kemungkinan juga memerlukan tindakan yang kompleks untuk satu jangka masa yang panjang.
Pelbagai agensi terlibat dalam menghadapi musim tengkujuh yang boleh membawa bencana alam serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelaraskan agensi-agensi terbabit. Dalam hubungan ini, Jabatan Kerja Raya mengambil beberapa langkah penting bagi menghadapi musim tengkujuh. Antara langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:
-
Mengenalpasti jalanraya yang sering dilanda banjir. Pancang-pancang kayu akan dipacak di kiri dan kanan jalan sebagai tanda menentukan di mana letaknya permukaan jalan jika berlakunya banjir. Di samping itu, papan-papan pemberitahu dipasang di tempat-tempat penting untuk memberi maklumat mengenai banjir kepada pengguna-pengguna jalan raya.
-
Untuk panduan am, jalan-jalan yang ditenggelami air itu dianggap tidak boleh dilalui oleh:
-
Tanah tebing dan tanah yang dipotong akan sentiasa diawasi jika terdapat tanda-tanda runtuhan. Tindakan membaiki runtuhan akan dijalankan di mana diperlukan.
-
Tanda-tanda amaran diletakkan di kedua-dua hujung jalan yang ditutup kepada lalulintas. Maklumat-maklumat mengenai penutupan jalan, keruntuhan cerun dan sebagainya akan dipamerkan di tempat tempat strategik dan balai polis berdekatan dengan tempat kejadian untuk makluman pengguna-pengguna jalanraya. Maklumat-maklumat yang dipamerkan hendaklah juga memberitahu jalan-jalan lencongan dan jalan-jalan alternatif jika penutupan jalan berlaku.
-
Lampu-lampu amaran akan dipasang pada waktu malam di tempat-tempat berkenaan untuk mengelak kemalangan dan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Seterusnya bagi menyelaras dan melicinkan kerja-kerja kecemasan ketika berlaku banjir, tanah runtuh dan sebagainya, satu senarai yang mengandungi nama, alamat dan nombor telefon pegawai-pegawai JKR yang penting di peringkat negeri akan disediakan.