Pengurusan Pengendalian Bencana oleh JKR
Disediakan Oleh : Pentadbir Portal & Sistem
Tarikh Kemaskini : 08/01/2008 [ ]
Jumlah Capaian: 51546
CARA PENGENDALIAN BENCANA OLEH JABATAN KERJA RAYA (JKR)
BILIK GERAKAN
Sebuah Bilik Gerakan akan diwujudkan bagi tujuan untuk menyelaraskan aktiviti dengan JKR Negeri/Daerah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung dengan keadaan bencana. Bilik Gerakan tersebut akan dibuka di Tingkat 10, Blok F, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur. Bilik Gerakan hanya akan beroperasi mengikut peringkat bencana seperti berikut :-
Peringkat 1
Kejadian bencana berlaku di satu tempat sahaja dan keadaan adalah terkawal. Tiada kemungkinan untuk merebak dan kejadian tidak kompleks. Tiada kejadian kehilangan nyawa atau harta benda.
Semua urusan mengenai bencana akan dikendalikan oleh Bahagian Senggara Fasiliti Jalan (BSFJ) pada waktu pejabat sahaja. Bilik Gerakan tidak akan dibuka.
Peringkat 2
Kejadian bencana yang lebih serius. Merebak kepada sekurang-kurangnya 2 (dua) daerah dan berkemungkinan boleh merebak ke kawasan lain. Terdapat kehilangan nyawa dan kehilangan harta benda.
Bilik Gerakan beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.
Peringkat 3
Kejadian bencana yang lebih serius daripada peringkat 2 di mana melibatkan 2 (dua) atau lebih negeri dan keadaan bencana adalah lebih kompleks.
Bilik Gerakan beroperasi 24 jam.
Bagi tujuan mengendalikan Bilik Gerakan apabila perlu, satu senarai giliran petugas dan jadual petugas bencana disediakan.
Sebagai contoh apabila banjir Peringkat 2 berlaku pada 1.10.2008, Pengarah Bahagian Senggara Fasiliti Jalan (BSFJ) akan mengeluarkan surat Pekeliling meminta semua petugas mengikut giliran bertugas Peringkat 2 untuk tarikh 1.10.2008, dan seterusnya melaporkan diri di Bilik Gerakan pada jam yang ditentukan. Jika bencana bertambah buruk dan Peringkat 3 diramalkan contohnya pada 10.10.2008, Pengarah Bahgaian Senggara Fasiliti Jalan (BSFJ) terus akan memberitahu petugas-petugas supaya memulakan operasi Peringkat 3 pada 10.10.2008 dan seterusnya hingga keadaan bencana pulih seperti biasa.
Tugas-tugas yang perlu dijalankan adalah mengikut butiran dalam senarai tugas yang disimpan di dalam Bilik Gerakan.
Petugas tidak dibenarkan mengambil cuti. Sekiranya berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan dan petugas tidak dapat bertugas pada hari petugas sepatutnya bertugas, maka sebarang pertukaran antara satu sama lain hendaklah diuruskan oleh petugas sendiri. Segala pertukaran yang dilakukan hendaklah diberitahu kepada Pengarah Bahagian Senggara Fasiliti Jalan (BSFJ) sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh-tarikh terlibat. Walau bagaimanapun, petugas mengikut giliran adalah bertanggungjawab sekiranya penggantinya tidak hadir bertugas pada hari tertentu.
Tindakan tatatertib akan diambil jika terdapat sesiapa yang tidak mematuhi peraturan ini.