Mangsa korban tsunami meningkat kepada 51 orang

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 27/12/2004 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 869

Mangsa yang terkorban akibat ombak `tsunami' yang melanda pantai barat Semenanjung berikutan gempa bumi di Utara Sumatera, meningkat seramai lapan orang menjadikan jumlah mangsa setakat ini sebanyak 51 orang. Pada masa yang sama, 11 orang lagi masih dilaporkan hilang selain 135 disahkan cedera dalam kejadian yang melanda pantai Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Selangor. Sumber Utusan Malaysia.

Jurucakap Pusat Kawalan Malaysia (MCC) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini berkata, gerakan mencari mangsa yang hilang masih diteruskan oleh pasukan tentera, polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), penduduk kampung dan beberapa agensi lain.``Kita percaya angka yang terkorban dijangka meningkat lebih-lebih lagi jika melibatkan kehilangan mangsa yang belum dilaporkan kepada pihak berkuasa,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, mengikut pecahan, Pulau Pinang mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 37 orang dengan kejadian di Batu Feringgi melibatkan 10 orang terkorban. Ini diikuti oleh Kedah iaitu seramai 10 kematian manakala Perak, tiga kematian dan Sabak Bernam, Selangor (satu kematian). Ombak tsunami melanda kebanyakan negeri tersebut semalam ekoran kesan dari gempa bumi yang melanda bahagian Utara Sumatera pada pukul 8.58 pagi waktu tempatan. Kebanyakan mangsa yang terkorban di negara ini akibat lemas setelah dipukul ombak setinggi lima hingga tujuh meter yang melanda persisiran pantai negeri-negeri tersebut. Tambah jurucakap MCC, kebanyakan mangsa terdiri daripada mereka yang mengunjungi pantai sempena cuti hari Ahad. Turut menjadi mangsa ialah para nelayan, penduduk kampung yang mendiami perkampungan di tepi pantai dan mereka yang memancing di tengah laut. Katanya, tiada kes kematian yang dilaporkan membabitkan pelancong atau warga asing di negeri-negeri tersebut. ``Kecuali kita terima laporan bahawa seorang pelancong dari England, Bill Murdoch, 60 yang mengalami kecederaan dalam kejadian yang berlaku di Langkawi, Kedah,'' katanya. Kata jurucakap itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui unit udaranya turut menggunakan dua pesawat Cessna Caravan dalam membantu usaha mencari berkenaan. Jurucakap juga itu menggesa penduduk yang tinggal di sepanjang kawasan pesisiran pantai di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis agar segera membuat laporan polis sekiranya mereka gagal mengesan mana-mana anggota keluarga sejak semalam.

Sementara itu, Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand, Azizan Ismail semasa dihubungi berkata, tiada sebarang laporan baru mengenai kematian rakyat Malaysia yang diterima, kecuali dua orang yang disahkan meninggal dunia di Trang semalam. "Tidak banyak maklumat diterima daripada pihak berkuasa Thai di sini dan saya sedang dalam perjalanan ke Phuket di mana beberapa rakyat Malaysia yang sedang dalam percutian dilaporkan terkandas di pulau-pulau kecil," katanya kepada Bernama. Azizan berkata, setakat ini, hampir 20 orang rakyat Malaysia dari pulau Phuket dan saudara-mara mereka telah menghubungi pejabat konsulat untuk memaklumkan bahawa mereka dalam keadaan selamat meskipun terkandas. "Kami melakukan yang terbaik untuk membantu mereka dengan pertolongan pihak berkuasa Thai di sini," katanya. Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pejabat pelancongan Malaysia di Phuket menerusi talian 076-220192 atau 220193.

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,691,870

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 19
Hari Ini : 783
Tahun ini : 310572
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).