Banjir di Pahang makin buruk
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 05/01/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 1533
Keadaan banjir di Pahang semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara meningkat kepada 2,514 orang berbanding hanya 246 orang semalam.
Lima daerah di negeri ini yang terlibat dengan bencana tersebut ialah di Kuantan, Pekan, Maran, Raub dan Cameron Highlands.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, daerah Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi dipindahkan iaitu seramai 1,386 orang diikuti oleh Pekan seramai 919 orang.
''Jumlah mangsa yang dipindahkan di Maran ialah seramai 128 orang, Raub (48) dan Cameron Highlands pula 33 orang," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 26 buah pusat pemindahan telah dibuka di negeri ini bagi menempatkan mangsa terlibat.
Dalam pada itu, katanya, dua kejadian tanah runtuh berlaku di Cameron Highlands iaitu di Jalan Kampung Terla-Brinchang dan Batu 49, Jalan Kampung Terla-Kampung Raja pagi semalam.
Beliau memberitahu, laluan di Kilometer (KM) 8 hingga 12 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, KM 19 hingga 24 Jalan Pekan- Nenasi serta KM 19 hingga 24 Jalan Rompin-Nenasi masih ditutup untuk semua kenderaan.
Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberitahu, bacaan paras air sungai di empat stesen telah melepasi paras berjaga-jaga.
Sungai terbabit ialah Sungai Jelai di stesen Bukit Betong pada paras 71.23 meter (m) berbanding paras berjaga-jaga 71 m dan Sungai Pahang di stesen Sungai Yap 51.22 m (48m).
Sungai-sungai lain ialah Sungai Pahang di stesen Lubuk Paku 17.33 m (17m) dan Sungai Kuantan di stesen Pasir Kemudi 7.52 m berbanding paras berjaga-jaga 4.60 meter.
Sebanyak tujuh sekolah di negeri itu terpaksa ditutup dan tidak akan memulakan sesi persekolahan esok kerana dinaiki air selain dijadikan tempat penempatan sementara mangsa banjir.
Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, tiga sekolah terbabit adalah di daerah Pekan manakala empat lagi di Hulu Tembeling, Jerantut.
Di Pekan, sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mutiara, SK Seri Serentang dan SK Lemai manakala di Hulu Tembeling pula ialah SK Mat Daling, SK Kusai, SK Kampung Pagi dan SK Kuala Sat.
''Buat masa ini, sekolah-sekolah terbabit ditutup dan esok tidak ada sesi persekolahan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan bilangan murid yang gagal memulakan sesi persekolahan berikutan perkembangan tersebut.
Abdul Aziz memberitahu, ketika ini seramai 817 mangsa banjir telah ditempatkan di SK Seri Mutiara manakala 146 orang lagi di SK Seri Serentang.
SK Lemai pula katanya, terpaksa ditutup kerana masih ditenggelami air sehingga paras buku lali.
Lima sekolah terlibat di Hulu Tembeling pula katanya, terpaksa ditutup disebabkan guru-guru dan kakitangan sekolah gagal memasuki kawasan terbabit.
"Ini kerana, bot tidak boleh memasuki kawasan berkenaan kerana kawasan jeram amat bahaya," jelasnya.
Bagaimanapun, Abdul Aziz memberitahu, sesi persekolahan di tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Pulau Tioman bermula seperti biasa esok selepas guru-guru terlibat dapat memasuki pulau tersebut.
''Kita masih lagi memantau keadaan dan sekiranya ada perubahan, kita akan memaklumkannya segera kepada ketua kampung dan pihak terlibat," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia Online