797 mangsa masih di pusat pemindahan banjir di Kelantan
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 06/01/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 14456
Keadaan banjir secara keseluruhan di Kelantan tidak banyak berubah walaupun sudah dua hari cuaca panas di negeri ini dengan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara kini 797 orang melibatkan 205 keluarga.
Jurucakap Pusat Operasi Banjir Negeri berkata di Pasir Mas seramai 736 orang berada di pusat pemindahan dan di Tumpat seramai 61 orang.
“Pusat pemindahan di Kota baharu sudah ditutup semalam kerana semua mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini.
Kesemua jalan utama sudah dibuka di negeri ini kecuali jalan Gua Musang-Lojing di Simpang Pulai di KM85 yang hanya dibuka kepada kenderaan ringan berikutan kejadian tanah runtuh.
Beberapa jalan kampung ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kampung Jambu, Jalan Pasir-Pohon Tanjung, Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu dan Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di Lubok Gong.
Tinjauan Bernama di sekitar bandar Kota Baharu mendapati kakitangan Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Jeti kastam dan kawasan kampung Kubang Pasu di tepi Sungai Kelantan daripada sampah sarap akibat banjir.
Sumber: Bernama