Gempa Padang: 75 disahkan mati setakat malam tadi
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 01/10/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 62204
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat malam tadi.
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital.
"Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di sini, malam tadi.
Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.
Jusuf berkata ketika ini Kota Padang gelap gelita akibat terputus bekalan elektrik dan hujan lebat yang masih turun.
Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di sini tidak dapat berangkat ke Padang malam ini kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada jam 5.16 petang Rabu.
Petikan: Berita Harian Online