Sungai Golok lepasi paras bahaya
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 06/11/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 59612
KOTA BAHARU: Sungai Golok di Rantau Panjang kini sudah melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat yang melanda Kelantan sejak empat hari lalu.
Bacaan paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan beberapa tempat di Sungai Kelantan juga semakin menghampiri paras bahaya dan berikutan itu penduduk yang tinggal di tebing sungai dan di kawasan rendah diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir.
Sungai Golok, Rantau Panjang pada bacaannya 9 pagi ini adalah 9.22 meter, melepasi bahaya 9 meter manakala di Jenob, Tanah Merah melepasi paras waspada 22.96 meter (waspada 21.50 meter/bahaya 23.50 meter).
Lima bacaan untuk Sungai Kelantan iaitu di Dabong dan Tualang, masing-masing di Gua Musang, Tangga Krai di Kuala Krai, Kusial di Tanah Merah dan Tambatan Diraja di sini semuanya sudah melepasi paras waspada dan semakin menghampiri paras bahaya.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata belum ada mangsa banjir dipindahkan setakat ini.
Cuaca di Kelantan mendung yang sekali-sekala hujan lebat dan keadaan itu diramalkan berterusan sehingga Ahad ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan juga sudah mula membuka bilik gerakan banjir pada pukul 1 tengah hari semalam.
Tinjauan Bernama di beberapa buah kampung di Rantau Panjang petang semalam mendapati penduduk sudah mula bersiap sedia untuk berpindah berikutan kenaikan paras air Sungai Golok itu. - Bernama