Peringatan Jabatan Meteorologi
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 07/11/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 31217
ALOR SETAR: Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat kuning bagi negeri ini dan Perlis berikutan hujan lebat yang dijangka berterusan selama tiga hari bermula semalam sehingga Ahad ini.
Jurucakap Jabatan itu berkata, keadaan itu berikutan musim peralihan monsun yang selalunya menyebabkan sebahagian negeri di Semenanjung mengalami taburan hujan yang lebih tinggi daripada biasa.
Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya meramalkan ribut petir juga dijangka berlaku di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang berterusan selama beberapa hari.
“Keadaan ini menyebabkan angin kencang sehingga 40 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 2.5 meter selain berbahaya kepada bot kecil,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata, penduduk di Kedah dan Perlis dinasihatkan tidak panik dan cemas dengan keadaan ini kerana cuaca dijangka akan kembali pulih menjelang Isnin ini.
Petikan: Berita Harian Online