Banjir ragut satu nyawa, 200 dipindah

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 07/11/2009 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 57483

PENDUDUK Kampung Kepah, Kuala Berang
terpaksa menggunakan perahu kerana laluan
utama kampung terputus akibat banjir.

Mangsa pertama lemas ketika mandi sebelum dihanyutkan arus deras di Kerian, Kelantan

KUALA LUMPUR: Banjir musim tengkujuh yang bermula di Kelantan dan Terengganu pagi semalam, meragut satu nyawa, manakala kira-kira 2,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di kedua-dua negeri itu.

Mangsa korban pertama banjir kali ini ialah Mohamad Mazlan Yazid, 28, yang lemas di Sungai Banggol Kerian dekat sini, ketika turun mandi, jam 6.30 petang, sebelum dihanyutkan arus deras.


Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya, berkata mangsa disedari lemas oleh penduduk kampung selepas hilang sebaik turun untuk mandi di terusan berkenaan.

"Kerja mencari mangsa akan diteruskan esok kerana cuaca gelap selain keadaan air terusan agak deras," katanya.

DI KOTA BHARU, banjir di negeri ini berlaku selepas hujan lebat berterusan selama empat hari yang menyaksikan lima jajahan terjejas dengan 1,210 mangsa dipindahkan.

Malah, hujan lebat berterusan juga menyebabkan paras beberapa sungai mencatatkan peningkatan mendadak, melebihi paras bahaya dan mula melimpah ke kampung berdekatan tebing sungai.

Paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan 10.22 meter berbanding paras bahaya 9 meter; paras Sungai Golok di Jenob pula 24.72 meter (paras bahaya 23.50 meter) dan Sungai Kusial 17.51 meter (paras bahaya 16 meter).

Keadaan itu menyebabkan semua jabatan dan agensi berkaitan, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan polis sudah membuka bilik gerakan mereka 24 jam mulai tengah hari semalam.

Antara jajahan teruk terjejas ialah Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli yang mana sehingga jam 7 malam tadi, 20 pusat pemindahan dibuka iaitu empat di Kuala Krai, masing-masing tiga di Machang dan Tanah Merah serta sembilan di Pasir Mas.

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berkata, jajahan Pasir Mas paling teruk terjejas dengan 432 mangsa dipindahkan, 308 di Kuala Krai, 249 mangsa di Tanah Merah, 188 di Machang dan 33 di Jeli.

Beliau berkata, limpahan air sungai yang mendadak menyebabkan sekurang-kurangnya lima jalan utama ditutup kepada kenderaan ringan termasuk Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Jambatan Tok Bok, Sungai Durian yang ditenggelami air sedalam satu meter.

Tinjauan Berita Harian mendapati, limpahan Sungai Bukit Abal turut menyebabkan lebih 30 rumah di tebingnya ditenggelami air sehingga 0.4 meter.

Seorang penduduk, Mohd Faiz Yaacob, 49, berkata jika hujan lebat berterusan kemungkinan besar mereka terpaksa berpindah kerana paras air di sungai berkenaan dibimbangi akan meningkat dengan cepat.

DI KUALA TERENGGANU, 2,627 mangsa daripada 693 keluarga di empat daerah di Terengganu dipindahkan ke 48 pusat pemindahan sehingga jam 9 malam.

Daerah Hulu Terengganu paling teruk terjejas dengan 570 orang dipindahkan, manakala beberapa jalan utama ditutup untuk semua kenderaan, termasuk Jalan Kuala Berang-Sungai Tong dan Jalan Kuala Berang-Telemong selepas beberapa kawasan dinaiki air antara satu hingga 1.5 meter.

Di Besut, 1,288 orang yang kebanyakannya dari Kampung Hulu Besut dipindahkan ke lima pusat pemindahan iaitu Masjid Kampung Belauh, Masjid Kampung La, Dewan Orang Ramai Keruak, Surau Kampung Pak Sik dan Sekolah Kebangsaan Bukit Payung.

Di Setiu, 294 mangsa daripada 96 keluarga di Kampung Merbau, Sungai Tong telah dipindahkan ke Kampung Merbau Menyusut.

Jalan Kampung Bukit Nyiur-Kampung Tok Nandang, Jalan Kampung Seri Kenangan-Kampung Pelong dan Jalan Bandar Permaisuri-Hulu Seladang ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air lebih satu meter.

Di Dungun, 475 orang daripada 105 keluarga dari Kampung Nyiur, Paka; Kampung Besul Lama, Bukit Besi dan Kampung Paya Balai Besar dipindahkan ke tiga pusat pemindahan berhampiran.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, 327 pusat pemindahan disediakan untuk menampung 48,039 mangsa banjir di seluruh negeri itu.

Katanya, Besut mempunyai 87 pusat pemindahan, Hulu Terengganu (73), Dungun (52), Kemaman (33), Setiu (31), Kuala Terengganu (27) dan Marang (24).

Petikan: Berita Harian Online

 

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,692,051

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 13
Hari Ini : 964
Tahun ini : 310753
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).