Amaran banjir di Pantai Timur, Utara
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 13/11/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 47819
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Penduduk di beberapa daerah di Pantai Timur, Perak Utara dan seluruh Kedah dinasihatkan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir ekoran hujan berterusan untuk tempoh beberapa hari lagi.
Jabatan Meteorologi memberitahu, kawasan di Kelantan yang terlibat adalah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang selain Kuantan, Jerantut, Pekan, Rompin dan Maran, kesemuanya di Pahang.
Dalam kenyataan akhbarnya di sini, jabatan itu memberitahu daerah di Terengganu adalah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.Sementara di Perak Utara melibatkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Kerian.
''Hujan dijangka berterusan di kawasan Pantai Timur dari 15 November ini hingga 19 November.
''Di Perak Utara dan seluruh Kedah, hujan dijangka berterusan dari 14 November hingga 20 November,'' menurut kenyataan itu.Tambahnya, keadaan itu boleh menyebabkan banjir kilat khususnya di kawasan rendah dan tebing sungai.Dalam pada itu, ombak kuat juga dijangka melanda perairan pantai Kelantan dan Terengganu selama dua hari bermula 14 November ini.
Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku di perairan Conrode, Reef North, Layang-Layang dan Palawan selama lima hari mulai 19 November ini.
Tiupan angin kencang itu dijangka mencecah 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil dan rekreasi laut.Oleh itu, orang ramai diminta lebih berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Petikan: Utusan Malaysia Online