Mangsa Banjir Berpindah Dua Kali Tidak Sampai Seminggu

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 02/12/2009 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 31634

MARANG, 1 Dis (Bernama)-- Belum pun hilang penat membersihkan rumah selepas banjir gelombang kedua Isnin lepas, penduduk Kampung Kijing di sini sekali lagi terpaksa berpindah ke beberapa pusat pemindahan banjir di daerah ini ekoran banjir gelombang ketiga mula melanda Terengganu sejak petang semalam.

Salah seorang mangsa, Zainab Abu Bakar, 70-an, berkata ini kali kedua beliau terpaksa berpindah ke pusat pemindahan dalam tempoh kurang daripada seminggu.

"Setiap kali hujan lebat, rumah makcik pasti akan dinaiki air walaupun rumah orang lain tidak banjir. Ini kerana rumah makcik betul-betul terletak berhampiran dengan longkang besar dan anak sungai.

"Makcik dan suami dah tua dan sudah tidak larat berpindah randah. Jadi kalau boleh makcik minta kerajaan agar memberikan bantuan rumah PPRT kepada kami," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Marang di sini Selasa.

Zainab berkata, beliau bersama suaminya Rani Jusoh, 80, dipindahkan oleh pihak keselamatan kira-kira pukul 5 petang semalam apabila air mula mencecah paras dada di halaman rumahnya.

Seorang lagi mangsa Che Ku Fatimah Che Ku Yahya, 41, berkata setiap kali banjir, banyak perabot rumah rosak menyebabkan beliau sekeluarga terpaksa menanggung kerugian.

"Macam menjadi acara tahunan, setiap tahun kami pasti kena berpindah setiap kali hujan lebat. Jadi kami minta kerajaan negeri agar dapat mendalamkan lagi longkang besar di kawasan berhampiran agar mampu menampung limpahan air," katanya.

Sementara itu, selepas Marang, kini daerah Dungun pula dilanda banjir apabila 42 orang mangsa dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan di daerah itu petang ini.

Mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Kah, Balairaya Kubang Putat dan Sekolah Kebangsaan Bandar.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata jumlah mangsa banjir di daerah Marang pula telah meningkat dari 241 orang pagi tadi kepada 442 mangsa petang ini.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air semua sungai utama di Terenganu masih di paras biasa, kecuali Sungai Nerus di Kampung Bukit, air melebihi paras waspada iaitu 11.9 meter (waspada 11 meter).


Petikan: BERNAMA

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,707,516

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 113
Hari Ini : 1292
Tahun ini : 326218
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).