Bilangan mangsa banjir di Terengganu meningkat
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 04/12/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 27822
KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 3,608 pagi ini berbanding 2,451 orang semalam.
Daripada jumlah itu, Kemaman mencatat angka tertinggi dengan 2,161 orang diikuti Dungun (599), Marang (329), Besut (51), Kuala Terengganu (248), Setiu (113) dan Hulu Terengganu (107) dan Besut (51).
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, semua jalan utama boleh dilalui tetapi beberapa jalan kampung di Marang, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Dungun masih ditutup.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu melaporkan paras air di semua sungai utama di Terengganu keseluruhannya turun sejak semalam walaupun ada yang masih pada paras bahaya.
jurucakap jabatan itu berkata, bacaan paras sungai pada 9 pagi ini menunjukkan paras air di Sungai Dungun di Jambatan Jerangau ialah 12.38 meter (bahaya 12.20 meter) dan Sungai Berang di Pengkalan Ajal 16.15 meter (bahaya 16 meter).
Di PAHANG, bilangan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Cherating Baru pagi ini masih 36 orang daripada lapan keluarga.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, mereka banjir dipindahkan pagi semalam selepas penempatan mereka di Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor dinaiki air sedalam 0.5 meter.
"Bagaimanapun, pemindahan itu hanya membabitkan daerah Kuantan manakala daerah belum membabitkan pemindahan mangsa banjir," katanya.
Petikan: Bernama