Bah di Terengganu surut, paras air di Kuantan naik
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 07/12/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 22339
ABU SUFIAN HUSSIN (kanan) bersama ahli keluarga
memindahkan kambing selepas kawasan rumahnya
di Kampung Sungai Belat ditenggelami banjir, semalam.
KUALA TERENGGANU: Banjir di negeri ini hampir pulih sepenuhnya apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 437 mangsa daripada 94 keluarga di lima pusat pemindahan seluruh negeri sehingga jam 5 petang semalam, berbanding 1,361 mangsa daripada 312 keluarga, kelmarin berikutan cuaca panas sejak tiga hari lalu.
Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkata daripada jumlah itu, seramai 211 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan di Kemaman, Kuala Terengganu (199) dan Dungun (27), manakala 12 pusat pemindahan di tiga daerah termasuk Hulu Terengganu, Marang dan Setiu sudah ditutup sepenuhnya sejak kelmarin.
Sementara itu, katanya tujuh jalan negeri masih ditutup iaitu empat di Hulu Terengganu, Kemaman (dua) dan satu di Dungun berikutan air masih kekal pada paras 0.3 meter hingga satu meter.
Di KUANTAN, biarpun keadaan cuaca di negeri ini bertambah baik, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan seluruh negeri meningkat kepada 1,796 orang berbanding 1,490 kelmarin berikutan kebanyakan kawasan kediaman mereka masih digenangi banjir.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, berkata daripada jumlah itu, Kuantan mencatatkan mangsa banjir tertinggi membabitkan peningkatan 306 mangsa menjadikan jumlah terkini adalah 1,639 mangsa daripada 321 keluarga.
"Peningkatan yang berlaku itu mungkin disebabkan paras air sungai yang semakin meningkat di sekitar daerah berkenaan kesan hujan lebat sejak beberapa hari lalu," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Sementara itu, di Pekan, masih ada 26 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di Balai Raya Padang Rumbia dan dewan serbaguna Kelab Rendang, manakala, di Bera, seramai 131 mangsa dari Kampung Paya Tateh masih berada di Kompleks Rakan Muda Kerayong.
Pusat pemindahan sementara di Maran pula sudah ditutup berikutan keadaan di sana yang sudah pulih seperti sedia kala manakala jalan di kawasan Sungai Lembing kembali dibuka untuk kenderaan ringan.
Petikan: Berita Harian