Hujan lebat peringkat jingga sehingga Selasa
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 21/12/2009 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 19569
KUALA LUMPUR: Jabatan Meterologi semalam mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di Kelantan dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga Selasa malam. Hujan sekejap-sekejap yang kadangkala lebat dari semasa ke semasa itu diramal berlaku di beberapa jajahan seperti Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.
Menurut kenyataan jabatan itu, hujan lebat berkenaan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan berdekatan dengan tebing sungai.Jabatan berkenaan turut mengeluarkan amaran dan nasihat mengenai hujan lebat peringkat kuning di Johor yang dijangka berterusan sehingga hari ini. Hujan sekejap-sekejap yang kadangkala lebat dari semasa ke semasa itu diramal berlaku di Mersing, Kota Tinggi serta Johor Bahru.
Di Terengganu dan Pahang pula, hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat yang bermula Jumaat lalu dijangka berterusan sehingga Selasa malam. Daerah yang dijangka mengalami hujan lebat di Terengganu ialah Dungun, Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman, manakala daerah di Pahang ialah Kuantan, Pekan dan Rompin.
Kenyataan jabatan berkenaan turut menyatakan keadaan hujan lebat berterusan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan yang berdekatan tebing sungai.
Petikan- Bernama