Banjir di utara bertambah buruk, lebih 9,000 mangsa dipindahkan

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 02/11/2010 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 3256

ALOR SETAR: Keadaan banjir di utara Semenanjung kini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat.

Hujan yang berterusan sejak semalam menyebabkan 9,264 penduduk daripada 2,214 keluarga di beberapa daerah di Kedah kini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di seluruh negeri itu yang dibuka sejak semalam.


Di PERLIS pula, jumlah mangsa yang dipindahkan kini meningkat kepada lebih 3,000 orang berbanding kira-kira 1,600 orang malam tadi.


Di KEDAH, Kubang Pasu adalah daerah paling teruk terjejas akibat banjir dan sehingga 11.30 pagi ini seramai 6,215 orang dari 1,443 keluarga telah dipindahkan ke 34 pusat pemindahan.

Keadaan banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk hari ini akibat aliran air dari daerah Padang Terap dan paras air di semua terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan sungai di Kubang Pasu kini melepasi paras bahaya.

Sehubungan itu, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Noh Dahya, menasihatkan penduduk di daerah berkenaan terutama mereka yang terbabit dalam banjir besar pada 2005 supaya bersedia dan seboleh-bolehnya berpindah awal.

Katanya, ini kerana paras air dijangka meningkat dalam tempoh enam jam bermula 11.30 pagi.
"Setakat ini boleh dikatakan hampir seluruh daerah ini dilanda banjir dan penduduk di 33 kampung dalam 16 mukim telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya.

Pada 2005, lebih 11,000 penduduk dipindahkan akibat banjir di Kubang Pasu.

Selain Kubang Pasu, daerah lain yang kini dilanda banjir ialah Padang Terap dan sehingga kini seramai 2,368 orang telah dipindahkan, Kota Setar (313 orang) dan Pokok Sena (368 orang).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Padang Terap Khalijah Latif berkata antara kampung yang terlibat di daerah itu ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Belimbing Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Bacaan paras air bagi tiga sungai di daerah itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kuala Nerang 21.08 meter (bahaya 17.07m), Sungai Kubu di paras 15.13m (bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 34.21m (bahaya 33m).

Tinjauan BERNAMA mendapati jalan utama dari Kuala Nerang menuju Padang Terap ditutup untuk semua lalu lintas.

Jurucakap bilik gerakan banjir Pokok Sena Noor Nazila Hassaim berkata tujuh kampung di daerah itu kini ditenggelami air, antaranya Kampung Bukit, Kampung Baru, Kampung Derang dan Kampung Bukit Hijau.

"Empat pusat pemindahan yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Surau Seberang Paya, Dewan Kampung Empa dan Surau Permatang Limau," katanya.

Di Kota Setar, sebanyak 11 kampung ditenggelami air dengan semua sungai di daerah itu kini melepasi paras bahaya. - BERNAMA
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Sumber: Berita Harian


Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,801,146

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 10
Hari Ini : 229
Tahun ini : 48046
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).