Banjir Landa Empat Negeri
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 02/11/2010 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 1380
Kedah catat mangsa bah paling ramai dipindahkan
ALOR SETAR: Lebih 3,000 penduduk di Kedah, Perlis dan Terengganu dipindahkan ke pusat pemindahan sejak semalam selepas hujan berterusan di tiga negeri terbabit serta Kelantan sejak beberapa hari lalu.
Kedah mencatatkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan setakat ini apabila 2,100 orang membabitkan 483 keluarga di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap dan Kota Setar dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki banjir sedalam antara satu dan lebih dua meter berikutan hujan lebat sejak Sabtu lalu.
Tinjauan Berita Harian di Kubang Pasu mendapati lebih 30 kampung, iaitu Kampung Raja Nongmi, Kampung Masjid, Kampung Changkat Setol, Kampung Padang Halban, Kampung Padang Pasir, Kampung Kepala Kerbau dan Pekan Changlun dinaiki air, menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke dewan dan masjid.
Di Padang Terap, banjir melanda 28 kampung, termasuk Kampung Padang Sanai, Kampung Pokka, Kampung Tanjong, Kampung Padang Cenderai, Kampung Tanjung Gorek, Kampung Padang Gelanggang, Kampung Kuala Janing, Kampung Mani A, Kampung Mani B, Kampung Mani C, Kampung Bendang Raja dan Kampung Labi, manakala di Kota Setar dua perkampungan terjejas teruk, iaitu Kampung Titi Gajah dan Kampung Gunong.
Di KANGAR, seramai 1,218 mangsa banjir membabitkan hampir 250 keluarga di seluruh Perlis dipindahkan selepas kediaman masing-masing dinaiki banjir, dengan majoritinya membabitkan daerah Padang Besar.
Antara kampung terjejas ialah Titi Tinggi Hilir, Kampung Gial Tengah, Pokok Sena, Panggas Besar, Panggas Kecil, Guar Musang, Kampung Tok Kuning, Kampung Sungai Buloh, Kampung Padang Melaka, Kampung Semadong, Lembah Biak, Titi Besi dan Kampung Belat Baru.
Di KUALA TERENGGANU, seramai 84 penduduk daripada 21 keluarga di beberapa kampung di Hulu Besut dipindahkan ke pusat pemindahan sejak pagi semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, berdasarkan ramalan cuaca, hujan lebat melebihi 40 peratus dijangka melanda seluruh negeri ini dan semua penduduk yang tinggal di tebing sungai serta di kawasan rendah diminta bersiap sedia untuk berpindah ke pusat perpindahan banjir.
Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abu Bakar Mohd Yusof berkata, Kelantan dijangka dilanda banjir besar tahun ini berikutan baki curahan hujan sehingga kini 1,240 milimeter (mm) atau 46 peratus daripada 2,700 mm, jumlah purata hujan tahunan bagi negeri ini.
Katanya, sehingga jam 4.36 petang semalam, dua lokasi sungai utama di negeri ini mencatatkan paras melebihi bahaya iaitu Sungai Golok di Jenob, Pasir Mas dengan 23.84 meter dan Sungai Golok di Rantau Panjang dengan 9.29 meter, manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai 20 meter iaitu melebihi paras waspada.
Sumber:Berita Harian Online