Korban Gunung Merapi kini 194 orang
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 12/11/2010 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 3021
YOGYAKARTA 11 Nov. - Gunung Merapi hari ini terus menghamburkan debu tinggi ke udara, namun ruang angkasa di Jakarta, beratus-ratus kilometer dari sini cerah membolehkan penerbangan antarabangsa disambung semula, hari ini.
"Ketika ini semua pesawat beroperasi seperti biasa," kata pengarah lapangan terbang antarabangsa utama Indonesia, Frans Yosef.
Walaupun demikian, Jabatan Negara Amerika Syarikat menggesa pelancong menjauhi Gunung Merapi yang telah meletus beberapa kali dalam abad ini, mengorbankan lebih 1,400 nyawa.
Angka kematian rasmi dalam letusan kali ini meningkat kepada 194 orang selepas pihak berkuasa memasukkan bilangan mangsa yang maut akibat masalah pernafasan, serangan jantung serta penyakit lain.
Gunung berapi di Pulau Jawa itu kembali meletus dua minggu lalu, menghamburkan debu sehingga enam kilometer ke udara hampir setiap hari, termasuk memuntahkan lahar dan batu panas.
Lebih 350,000 orang penduduk telah dipindahkan ke tempat perlindungan kecemasan yang kini sesak.
Presiden Barack Obama memendekkan kunjungan ke Indonesia dan berlepas ke Seoul untuk menghadiri sidang kemuncak G20, malah beberapa syarikat penerbangan antarabangsa membatalkan penerbangan ke Jakarta, semalam berikutan kebimbangan mengenai debu gunung berapi yang dibawa angin.
Sumber: Utusan Malaysia Online