Gegaran di pusat beli-belah
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 15/06/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 2533
MELAKA 14 Jun - Hampir 50 pengunjung dan pekerja sebuah pusat beli-belah dan bangunan kerajaan di sini, panik apabila merasai dua gegaran yang berlaku pukul 8.10 pagi dan 11 pagi hari ini.
Gegaran berpunca daripada dua gempa bumi bermagnitud 5.5 dan 5.6 skala Richter yang berlaku di Sumatera Utara pada pukul 8.08 dan 11.01 pagi.
Di Taman Melaka Baru, lebih 20 pekerja beberapa buah syarikat di bangunan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) kelam kabut apabila merasai empat gegaran di bangunan lapan tingkat itu.
Menurut Pegawai Khidmat Pelanggan TM, Norafiza Zainuldin, 22, dia bergegas keluar daripada bangunan itu setelah melihat beberapa pekerja di tingkat enam keluar setelah merasai gegaran keempat pada kira-kira pukul 11.27 pagi.
"Sebelum itu, saya yang bertugas di tingkat bawah turut berasa pening dan terhuyung-hayang dalam beberapa saat," ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambahnya, setelah keluar dari bangunan itu, salah seorang pekerja syarikat lain di tingkat enam memaklumkan turut merasai tiga gegaran awal sebelum itu.
Turut merasai gegaran beberapa pengunjung di pusat beli-belah Melaka Mall di sini, pada pukul 8.10 pagi dan 11.27 pagi.
Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, R. Ezhumalai berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil dikejarkan ke Melaka Mall sementara dua buah jentera dari Balai Jalan Kubu bergegas ke Bangunan Pertam setelah menerima panggilan awam pada pukul 11.21 pagi.
"Bomba tidak menemui kesan retak yang baharu atau masalah pada sistem pendawaian elektrik di kedua-dua bangunan akibat gegaran itu, justeru ia selamat untuk digunakan," katanya.
(Petikan Utusan Malaysia Online 15/06/2011)