\'Kita dapat rasa kesan gegaran\'

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 15/06/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 2889

KUALA LUMPUR: Beberapa bangunan tinggi di sekitar ibu negara turut merasai kesan gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 300 kilometer dari Pelabuhan Klang, pagi semalam.

Seawal jam 8 pagi, gegaran pertama dirasai penduduk Kondominium Villa Putra di Taman Melati, Gombak, selain pekerja di Wisma Kenanga, Jalan Sultan Ismail, ibu pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bangsar dan di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah.

Gegaran susulan kemudian yang berlaku jam 11.06 pagi, berukuran 5.6 pada skala Richter turut dirasai di banyak kawasan termasuk Menara Matrade dan Kompleks Kerajaan Jalan Duta, selain Menara Bank Simpanan Nasional (BSN), Jalan Ampang termasuk Menara Hock Chuan di Jalan Raja Chulan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penguasa Azizan Ismail, berkata gegaran antara tiga hingga lima saat itu dapat dirasai mereka di bangunan tinggi, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Sekurang-kurangnya 10 jentera bomba bersama 80 anggota, masing-masing dari Sentul, Jalan Hang Tuah, Chow Kit dan Pantai (Bangsar) digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat bagi memantau keadaan, termasuk keadaan bangunan terbabit.

“Pemeriksaan mendapati tiada rekahan atau kesan retak pada struktur bangunan sebelum mengesahkannya selamat untuk diduduki. Kebenaran menduduki semula premis dilaporkan bergantung kepada hasil pemeriksaan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Di PUTRAJAYA, beberapa bangunan menempatkan kementerian dan pejabat pentadbiran Kerajaan Persekutuan terpaksa dikosongkan akibat gegaran itu.

Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Noriza Nazri, berkata semua petugas diarahkan meninggalkan bangunan dan kemudian berada di pekarangan bangunan, sementara menunggu dibenarkan kembali memasuki bangunan.

Di SHAH ALAM, petugas Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Rahmah Abdul, 45, berkata, kipas dan mejanya tiba-tiba bergoyang ketika mahu memulakan tugas.

“Ketika itu saya panik sebab semua bergoyang, saya dan rakan lain saling berpandangan sebelum kami semua bergegas turun,” katanya yang bertugas di tingkat 18.

Pengurus Komunikasi Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Hashimah Che Mat Din, yang menghadiri mesyuarat di tingkat 21 bangunan sama, turut merasai gegaran sebelum diarah menghentikan mesyuarat bagi mengelak kejadian buruk.

Di SEREMBAN, antara bangunan yang merasai gegaran termasuk Wisma Malaysian Assurance Alliance Bhd (MAA) setinggi 21 tingkat di Jalan Lintang, menyebabkan 269 pekerja syarikat dan agensi kerajaan meninggalkan pejabat jam 10.30 pagi.

Kerani MAA, N Indrani, 38, yang berada di pejabatnya di tingkat lapan bangunan itu berkata, dia tiba-tiba berasa pening apabila melihat meja bergoyang.

“Saya dan rakan sepejabat tidak panik kerana dua bulan lalu, pengurusan bangunan mengadakan latihan kebakaran bersama bomba menyebabkan kami bertindak mengikut arahan ketika kejadian kecemasan,” katanya.

(Petikan Berita harian Online 15/06/2011)

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,694,551

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 7
Hari Ini : 130
Tahun ini : 313253
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).