Takaful Malaysia bayar RM70,000 waris mangsa tanah runtuh
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 17/06/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 2643
HULU LANGAT 16 Jun - Takaful Malaysia Berhad (Takaful Malaysia) membayar pampasan berjumlah RM70,000 kepada waris 14 mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Al-Taqwa, Hulu Langat. Pampasan itu bernilai RM5,000 setiap seorang berikutan mangsa dilindungi Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM) yang dikendalikan Takaful Malaysia.
Penolong Pengurus Besar Cawangan Jualan, Perbendaharaan dan Korporat, Takaful Malaysia, Noraini Yusof berkata, bagi mangsa cedera yang pula, pihaknya kini menunggu laporan hospital sebelum membuat pembayaran.
"Buat masa ini, ia dianggarkan berjumlah di antara RM7,500 hingga RM15,000 setiap seorang," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian pampasan kepada mangsa tanah runtuh di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Langat di sini hari ini.
Pada majlis yang sama, Takaful Malaysia turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 melalui program myJalinan Kasih untuk tujuan pembinaan semula rumah anak yatim itu.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Rumah Anak-Anak Yatim Malaysia, Dr. Idris Musa berkata, dengan bantuan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak, beliau berharap rumah anak yatim itu dapat dibangunkan semula.
"Kami sedang mencari tanah persendirian untuk membina semula rumah yang telah musnah. Sekarang, semua penghuni tinggal di penempatan sementara asrama Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim)," katanya.
Beliau juga menyeru pihak lain terutamanya badan korporat untuk terus menyalurkan sumbangan supaya pembangunan semula rumah anak yatim itu yang musnah dalam kejadian tanah runtuh 21 Mei lalu dapat dilakukan.
PPD Hulu Langat turut menghulurkan derma bernilai RM13,819.60 kepada rumah anak yatim itu yang disampaikan oleh Pegawai Pelajarannya, Mohd. Mahmudi Bakri.
(Petikan Utusan Malysia Online 17/06/2011)