NIOSH sedia bantu perkenal OSH di sekolah
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 24/06/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 4432
KUALA LUMPUR 23 Jun – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia untuk memperkenalkan program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah (OSH) bagi menjadikan institusi itu sebagai tempat yang selamat dan sihat untuk guru, kakitangan sokongan, murid dan pelawat. Sehubungan itu, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, OSH perlu diberi perhatian serius oleh Jawatankuasa Keselamatan, Kebersihan dan Keceriaan Sekolah (3K) Kementerian Pelajaran.
“Program OSH di sekolah perlu dilaksanakan memandangkan beberapa kemalangan yang berlaku di sekolah sejak akhir-akhir ini telah menyebabkan kecederaan kepada murid,” katanya.
Beliau membuat cadangan tersebut semasa merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Kebangsaan Taman Rakan, Kajang, baru-baru ini.
Katanya, antara aktiviti yang boleh dijalankan di bawah Program OSH di sekolah termasuk latihan teori dan amali mengenai kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan, OSH 5 hingga 10 minit, ‘hazard hunt’ dan juga pameran.
“NIOSH juga telah mengambil inisiatif dengan mengeluarkan ‘Buku Panduan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan’ di sekolah. Buku ini diharap dapat dijadikan rujukan asas oleh pihak sekolah dalam menerapkan aspek keselamatan dan kesihatan di sekolah,” katanya.
Buku panduan tersebut bertujuan memberi maklumat dan panduan secara am dalam membangunkan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah.
Antara lain, buku panduan itu memberikan maklumat tentang cara-cara bagaimana untuk memulakan kesedaran dan latihan berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada guru, kakitangan sekolah dan pelajar.
Turut terkandung di dalam buku itu ialah tip-tip keselamatan di makmal, keselamatan di bengkel, keselamatan di pejabat, keselamatan di kantin, keselamatan ketika bersukan, keselamatan daripada terjatuh, keselamatan pemakanan di kantin, kesihatan dan kebersihan diri, pengosongan bangunan dan pertolongan cemas.
Di samping itu, ujar beliau, program tersebut dapat memupuk budaya selamat dan sihat di kalangan para pelajar sekolah sejak awal lagi supaya mereka akan menjadi sumber tenaga manusia yang akan menjayakan wawasan 2020.
(Petikan Utusan Malaysia Online 24/06/2011)