Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 14/09/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 7114
KANGAR 13 Sept. – Banjir yang berlaku sejak beberapa hari lalu tidak menjejaskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini berikutan persediaan awal telah dibuat dengan menempatkan mereka di beberapa pusat peperiksaan.
Ia melibatkan lebih 100 calon yang terlibat dengan banjir dari Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, 36 orang, SK Seri Indera (36 orang), SK Panggas (22 orang) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Kangar (14 orang).
Keseluruhannya, seramai 4,594 calon menduduki peperiksaan tersebut yang melibatkan 75 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid, Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir. Nishad Mohamed Mohd. Shaffy melawat sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir hari ini.
Menurut Md. Isa, bantuan sewajarnya telah dilakukan untuk membantu mangsa banjir termasuk murid-murid yang menduduki UPSR berikutan banjir tersebut.
Setakat petang ini, banjir di Perlis kembali reda dengan hanya 10 pusat pemindahan beroperasi di Kangar manakala pusat-pusat pemindahan di Padang Besar dan Arau telah ditutup.
Mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sekitar Kangar juga berkurangan dengan cuma 119 keluarga melibatkan 467 mangsa masih berada di situ.
Bagaimanapun, empat buah sekolah di Kangar masih ditutup kerana dinaiki air iaitu SK Padang Melangit, SK Seri Indera, Sekolah Menengah Vokasional Kangar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad.
(Petikan Utusan Malaysia Online 14/09/2011)