Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 11/01/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 3433
TUMPAT: Biarpun banjir di negeri ini mulai surut, beberapa kawasan perumahan dan sekolah sekitar daerah masih ditenggelami air sehingga 2.5 meter.
Malah, ada penduduk yang terputus hubungan apabila jalan di kawasan perumahan mereka tidak dapat dilalui akibat ditenggelami banjir.
Tinjauan Harian Metro mendapati, terdapat rumah penduduk di beberapa kawasan dikosongkan.
Antara kampung yang masih tenggelam ialah Kampung Simpangan, Kampung Jejulok dan Kampung Kubang Bemban.
Keadaan sama juga dapat dilihat di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan yang sehingga kini ditutup berikutan semua empat blok bangunan sekolah dinaiki air.
Ia berikutan kawasan itu menerima limpahan Sungai Golok di Rantau Panjang yang mengalir ke Sungai Mentuan sejak kelmarin.
Penduduk Kampung Simpangan, Mek Keput Eh Boon, 36, berkata, keadaan itu sama seperti yang dilalui tahun sebelum ini.
Katanya, dia begitu bimbang keselamatannya dan keluarga kerana arus yang begitu deras sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
“Setiap kali banjir melanda, seluruh kampung ini ditenggelami air berikutan limpahan air Sungai Golok selepas hujan sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Pengawal keselamatan SK Simpangan, Fauzi Awang Chik, 46, berkata, sekolah itu sentiasa terdedah kepada banjir setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, sekolah berkenaan ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter.
“Sudah menjadi kebiasaan, setiap kali musim banjir, sekolah ini akan dilimpahi air banjir dari Sungai Golok di Rantau Panjang,” katanya.
(Petikan akhbar Harian Metro 11/01/2011)