Wanita maut kena renjatan elektrik
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 12/01/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 3553
Mangsa berpaut wayar elektrik harungi bah
TUMPAT: "Saya terdengar jeritan isteri sebelum melihat dia menggelupur sebaik terkena kejutan elektrik.
"Sebelum kejadian ini, saya perasan arwah agak pendiam dan sering menghubungi saya sambil bertanya sama ada saya menyayanginya," kata suami Allahyarham Sazila Rosli, 27, Mahadi Yahya, 36,
Mahadi berkata, isterinya terkena kejutan elektrik di halaman rumah ibunya di Kampung Simpangan Hulu, di sini yang masih ditenggelami banjir.
Katanya, kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu berlaku apabila isterinya berpaut pada wayar elektrik ketika mengharungi air sedalam kira-kira 0.5 meter.
"Saya melihat isteri menggelupur dan kemudian membawanya ke Hospital Kelaboran sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mahadi berkata, beliau percaya Sazila tergelincir lalu mencapai wayar yang disambung ke garaj kereta dan sambungan wayar itu terjuntai di atas kepalanya.
Katanya, beliau dan isteri tinggal di rumah ibunya sejak tiga hari lalu selepas tempat tinggal mereka di Kampung Pauh Sebanjar dekat Neting di sini, dinaiki air kira-kira dua meter.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.
(Petikan akhbar Berita Harian 12/01/2011)