Krisis akibat banjir di Thailand belum berakhir
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 18/10/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 7031
BANGKOK 17 Okt. - Banjir buruk di Thailand sehingga mengancam kota Bangkok semakin surut, namun para pegawai hari ini memberi amaran krisis yang timbul ekoran bencana alam itu masih belum berakhir.
Ini kerana hujan lebat selama tiga bulan itu menenggelamkan beberapa wilayah di tengah dan utara negara ini dan menyebabkan kematian 300 orang.
Berpuluh ribu orang juga terpaksa dipindahkan ke tempat perlindungan sementara ketika paras air menenggelamkan rumah dan pusat perniagaan.
Timbalan Perdana Menteri, Kittirat Na Ranong berkata, kerosakan kepada sektor pembuatan Thailand mungkin melebihi 100 bilion baht (RM10.1 bilion) ekoran banjir tersebut dan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap industri itu.
Pusat Kawalan Operasi Bantuan Banjir (FROC) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya yakin 'air banjir dari daerah lain tidak akan sampai ke Bangkok' kerana ia akan disalurkan ke sistem sungai dan terusan di sekitar bandar raya ini.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Saliran, Chalit Damrongsak memberi amaran keadaan masih kritikal ekoran air yang melimpah ke kawasan rendah di Bangkok masih belum surut dan perlu disalirkan ke laut.
Banjir berlaku di kawasan perindustrian Navakorn di Pathum Thani, 45 kilometer dari Bangkok hari ini ketika pihak berkuasa cuba mengukuhkan tembok sekatan banjir.
Usaha melindungi ibu negara Thailand itu menyebabkan kawasan di luar Bangkok mengalami kerosakan teruk akibat banjir tersebut.
Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra mengarahakn tentera mengetuai bantuan kecemasan di lima wilayah paling teruk dilanda banjir termasuk bandar Ayutthaya sejak seminggu lalu.
- afp/dpa
(Petikan Utusan Malaysia Online 18/10/2011)