25 korban terbaru Ribut Tropika
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 18/10/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 6787
SAN SALVADOR: Angka kematian akibat hujan lebat di Amerika Tengah sejak lebih seminggu lalu meningkat hampir dua kali ganda sejak Sabtu dengan tambahan 25 korban di El Salvador, kata pihak berkuasa kelmarin.
Ribut Tropika yang menyerang dari Lautan Pasifik Rabu lalu menyebabkan banjir lumpur dan huru hara di jalanan serta memaksa ribuan penduduk berpindah di negara antara Mexico dan Amerika Selatan, mengorbankan 81 orang setakat ini.
Sabtu lalu, angka kematian kekal 45 orang di rantau ini yang didiami penduduk paling miskin di Amerika. El Salvador, sebuah negara dengan enam juta penduduk, adalah yang paling teruk terjejas semalam, dengan bencana alam itu menambah jumlah mangsa kepada 32 orang.
“Situasi itu semakin buruk, hujan masih turun dengan lebat di banyak tempat di negara ini,” kata presiden El Salvador, Mauricio Funes, dalam satu ucapan lewat kelmarin.
Ramai yang terkorban di negara itu maut dalam banjir lumpur, kata seorang pegawai dari perkhidmatan kecemasan tempatan.
Hujan turun dengan lebat di sesetengah kawasan di sekitar perbandaran Ciudad Arce, barat laut San Salvador, yang mana operasi menyelamat terpaksa ditangguhkan buat seketika.
Guatemala juga melaporkan lebih banyak kematian, menjadikan jumlah mereka yang terbunuh setakat ini 28 orang manakala angka itu meningkat kepada 13 orang di Honduras. Sekurang-kurangnya lapan orang maut di Nicaragua. Tiada kematian dilaporkan di Costa Rica walaupun berpuluh keluarga dipindahkan.
Hujan masih turun di beberapa bahagian di kawasan itu. Cuaca buruk juga turut melanda bahagian tenggara Mexico, di mana air sungai melimpah menyebabkan ribuan penduduk terutama di Tabasco terjejas.
Sekurang-kurangnya empat maut di Mexico awal minggu ini apabila Taufan Kategori Dua Jova menyerang dari Lautan Pasifik, memaksa bahagian paling sibuk negara itu ditutup. – Reuters
(Petikan Berita Harian Online 18/10/2011)