Kerajaan sedia hadapi banjir

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 01/11/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 13372

Muhyiddin mahu langkah luar jangka diberi perhatian elak kejadian buruk

SEPANG: Kerajaan bersedia ‘lebih daripada biasa’ bagi menghadapi kemungkinan gelombang banjir yang diramal oleh pakar lebih besar kali ini menjelang peralihan musim Monsun Timur Laut, bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun kerajaan membuat persediaan seperti biasa setiap kali musim banjir, keadaan luar jangka mungkin boleh berlaku dan persediaan untuknya perlu dilakukan.

“Kita sentiasa bersedia, cuma kita mungkin tidak boleh nak jangka keadaan macam mana, jadi kita kena bersedia (menghadapi) keadaan yang lebih daripada biasa.

“Kita akan tengok daripada laporan apa bentuk panduan yang akan gunakan, tetapi saya tidak fikir pada peringkat awal ini kita hendak buat satu kenyataan yang boleh menimbulkan panik,” katanya selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berangkat menunaikan fardu haji di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sentiasa memantau keadaan cuaca termasuk nasihat daripada Jabatan Meteorologi dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai keadaan yang bakal berlaku dalam tempoh seminggu dua akan datang.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, sebagai berkata gelombang banjir besar dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, timur Sabah dan Sarawak berikutan peralihan monsun itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, MKN sudah membuat persediaan dan satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan bagi mengetahui kedudukan keadaan lojistik dan menilai maklumat daripada Jabatan Meteorologi.

Katanya, mesyuarat penyelarasan juga akan turut membabitkan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Setakat hari ini semua (aspek) kita sudah ambil kira, cuma apa pun selepas mesyuarat nanti kita akan maklumkan, kita ambil pandangan mungkin angin lebih kuat dan hujan lebih lebat. Jadi mungkin air akan mengalir lebih daripada dulu (banjir sebelum ini), jadi ini penting bagi kita untuk merangka persiapan lebih, tetapi seperti biasa kita sudah melakukan persiapan awal,” katanya.

Mengenai bantuan Malaysia kepada Thailand yang kini dilanda banjir, beliau berkata bantuan bernilai AS$1 juta (RM3 juta) sudah diserahkan dan kerajaan memutuskan akan turut membantu Laos, Myanmar dan Kemboja atas kadar sama.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya akan memantau harga barangan bagi memastikan tiada peniaga yang sengaja menaikkan harga dengan alasan banjir.

Beliau berkata, perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan dilakukan bagi memastikan harga dan bekalan barangan makanan tidak dinaikkan atau bekalan terjejas.

(Petikan Berita Harian Online - 01/11/2011)

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,694,854

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 9
Hari Ini : 433
Tahun ini : 313556
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).