214 sekolah jadi penempatan banjir
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 02/11/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 7468
KUANTAN 1 Nov. – Sebanyak 214 buah sekolah di negeri ini akan dijadikan pusat penempatan sementara untuk mangsa banjir sekiranya bencana alam itu berlaku seperti diramalkan pada Disember dan Januari tahun depan.
Pengarah Pelajaran Negeri, Yahya Zainal Abidin berkata, kesemua sekolah tersebut dipilih berdasarkan faktor keselamatan serta kemampuan untuk menampung kapasiti mangsa.
“Daerah Temerloh paling banyak sekolah yang terlibat iaitu 39 buah, diikuti Bentong (27), Kuantan (25), Pekan (23), Jerantut (20), Lipis (20), Bera (15), Maran (16), Raub (14) dan Rompin sebanyak 14 sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) Peringkat Kebangsaan di Stadium Mini Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.
Sementara itu, katanya, beberapa sekolah berasrama penuh akan dijadikan pusat penempatan kepada pelajar yang mengambil peperiksaan penting sekiranya berlaku banjir ketika itu.
Katanya, antara sekolah yang terbabit adalah Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh.
“Jika sekolah yang menjadi pusat peperiksaan itu banjir, kita akan bawa pelajar-pelajar ini ke pusat peperiksaan yang ada asrama.
“Mereka akan tinggal di situ dan segala urusan penukaran pusat peperiksaan, kita akan uruskan dengan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM),” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, seramai 1,662 atlet dan pegawai dari 15 kontinjen negeri akan bertanding dalam kejohanan tersebut yang berlangsung selama tiga hari berakhir esok.
“Sukan yang akan dipertandingkan adalah bola sepak, hoki, badminton, sepak takraw, olahraga, memanah, gimnastik dan gimrama,” katanya.
(Petikan Utusan Malaysia Online - 02/11/2011)