DBKL, agensi sedia hadapi banjir

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 09/11/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 7775

KUALA LUMPUR: Lebih 100 anggota skuad Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan bantuan 10 agensi dan jabatan kerajaan bersiap sedia membantu warga kota menghadapi kemungkinan banjir kilat yang dijangka melanda kawasan ibu kota sepanjang musim tengkujuh ini.

Skuad itu membabitkan 39 anggota skuad banjir, 35 anggota skuad pemantau banjir dan 48 anggota skuad kecemasan berfungsi memantau dan mengambil tindakan menyelamatkan mangsa, termasuk mengurangkan kesesakan di jalan raya dengan 30 kereta tunda bersiap sedia mengalihkan kenderaan tersekat dalam banjir.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Muhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata terdapat enam lokasi diletakkan tanda amaran banjir di sekitar bandar raya iaitu di Kampung Baru, Jalan Tun Razak (berhampiran Bernama), Jalan Raja, Dang Wangi, Dataran Merdeka dan Jalan Masjid India.

“Semua kawasan ini termasuk di kawasan rendah membabitkan sungai akan dipantau dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti paras air sebelum kerja menyelamat pertama dijalankan sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

“Banjir di sekitar bandar raya boleh berlaku walaupun kini terdapat terowong SMART dan kolam takungan air, malah DBKL peka dan mengambil iktibar keadaan banjir di Bangkok.
“Beberapa kolam takungan juga akan dibangunkan bagi mengalirkan limpahan air di Sungai Keroh dan Batu di Kepong termasuk di beberapa kawasan seperti di Kampung Puah di Gombak. Beberapa kolam takungan sedang dibina di Kampung Delima berdekatan Kampung Batu, Taman Wahyu, Pasar Borong Kuala Lumpur dan PPR Intan Baiduri,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media ‘Persiapan Kemungkinan Menghadapi Banjir Di Kuala Lumpur’ di Bilik Gerakan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Jln Tun Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Persiapan Menghadapi Banjir bersama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan lain di sini, semalam.

Pada mesyuarat itu, beliau diberikan taklimat persiapan berdepan banjir oleh Jabatan Meteorologi, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Tenaga Nasional Berhad, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Alam Flora.

“Semua jabatan ini akan memberi maklumat situasi semasa ke Bilik Gerakan Banjir di Jalan Tun Razak yang mula beroperasi sejak awal bulan ini, sebelum disalurkan kepada orang ramai menerusi pengumuman di radio dan televisyen serta Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS),” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat banjir boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Peringkat DBKL di bilik gerakan Jalan Tun Razak menerusi hotline 03-40244424, 03-40220055 atau telefon bimbit 019-2120031 yang beroperasi 24 jam

(Petikan Berita Harian Online - 09/11/2011)

 

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,499,175

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 9
Hari Ini : 386
Tahun ini : 117877
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).