Penduduk Sungai Lembing kena siap sedia

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 11/11/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 7752

KUANTAN: Penduduk beberapa kampung di sepanjang pesisir Sungai Kuantan dan Sungai Kenau menghala ke pekan Sungai Lembing, dekat sini diarah bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi kemungkinan banjir besar bulan depan.

Kawasan mereka termasuk Jalan Sungai Lembing dan pekan Sungai Lembing akan menjadi lokasi pertama dinaiki air setiap kali daerah itu dilanda banjir.

Namun, oleh kerana hampir setiap tahun mereka berdepan dengan ancaman banjir, maka lebih 2,000 penduduk di pekan Sungai Lembing dan kawasan sekitarnya sudah ‘lali’ dengan keadaan itu dan mengambil langkah perlu sebagai persiapan menghadapi bencana.

Ketua Kampung Melayu Sungai Lembing, Tengku Nordin Tengku Abdul Rashid, berkata beberapa langkah dilakukan termasuk persediaan pusat pemindahan sementara.

"Minggu lalu, Pegawai Daerah Kuantan bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengadakan lawatan dan tinjauan ke pusat pemindahan banjir di balai polis, dewan sekolah dan balai raya bagi memastikan ia dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, Kampung Melayu Sungai Lembing mempunyai kira-kira 700 penduduk.

Selain persediaan bekalan makanan yang dijangka diagihkan JKM minggu depan, katanya, penduduk turut menyimpan bekalan keperluan asas di rumah masing-masing untuk menghadapi kemungkinan banjir.
"Biasanya, banjir di pekan Sungai Lembing tidak berlarutan sebaliknya berlaku untuk tempoh beberapa jam kerana ia laluan air Sungai Kenau yang mengalir ke Sungai Kuantan," katanya.

Tengku Nordin berkata, kerja pembaikan jambatan gantung juga sedang dilaksanakan bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat dan boleh digunakan penduduk jika jambatan dinaiki air.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu 6 yang terletak di pesisir Sungai Kuantan, Syed Abdul Rahman Syed Bakar, berkata penempatan berkenaan mempunyai 1,566 penduduk daripada 260 keluarga.

"Kesukaran berlaku apabila jambatan kayu yang menghubungkan kampung dengan jalan utama ke pekan Sungai Lembing dan Kuantan runtuh dirempuh sisa kayu yang dihanyutkan arus deras, akhir tahun lalu.

"Bagaimanapun, ia sudah diatasi apabila pihak berkuasa membina sebuah jambatan gantung bagi memudahkan urusan harian penduduk, walaupun pada musim banjir," katanya.

Syed Abdul Rahman juga menasihati penduduk menyimpan barang keperluan dan memastikan dokumen penting diletakkan di tempat selamat dan perlu bersedia jika diarahkan pindah oleh pihak berkuasa.

Ketua Kampung Jeram Takar, Abdul Rahman Mohamad berkata mereka sudah membuat persediaan yang perlu bagi menghadapi banjir jika hujan berlarutan sehingga lapan atau sembilan jam berterusan.

"Bagaimanapun, apa yang dibimbangkan ialah jika ia berlaku pada sebelah malam dan penduduk tidak sempat berpindah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yakin dapat memperbaiki segera jambatan gantung sedia ada yang uzur bagi memastikan ia dapat digunakan dengan selamat oleh kira-kira 300 penduduk pelbagai kaum

(Petikan Berita Harian Online - 11/11/2011)

 

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,498,995

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 10
Hari Ini : 206
Tahun ini : 117697
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).