Teknologi SMART diiktiraf PBB

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 14/11/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 7147

TEROWONG jalan raya dan mengurus air banjir (SMART) yang merupakan antara salah satu projek pembinaan di negara ini yang mendapat perhatian dunia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Terbaru projek itu menerima anugerah Habitat Schroll of Honour daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana peranannya dalam menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di bandar raya Kuala Lumpur.

Anugerah itu diberikan pada Sidang Kemuncak Habitat PBB sempena Hari Habitat Sedunia di Aguascalientes, Mexico pada 3 Oktober lalu.

Ia telah disampaikan oleh Presiden Mexico, Felipe Calderón kepada Ketua Pegawai Operasi SMART, Mohd. Fuad Kamal Ariffin.

Menurut Mohd. Fuad, anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan kepada SMART bukan kerana kejayaan kejuruteraannya, tetapi disebabkan peranannya dalam memberikan kehidupan lebih baik kepada warga kota.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sejak terowong itu beroperasi ia dapat mengelakkan sekurang-kurangnya lapan banjir besar di ibu negara.

Kewujudan terowong itu katanya, turut menyubang kepada kehidupan di Kuala Lumpur yang lebih selamat yang mana ia membantu meningkatkan taraf hidup.

"Ini kriteria utama yang digunakan oleh PBB dalam memberikan anugerah ini kepada SMART," katanya.

Anugerah itu telah diperkenalkan oleh PBB di bawah program habitatnya sejak 1989. Ini merupakan kali pertama Malaysia mendapat pengiktirafan seumpama itu.

"Walaupun ini merupakan projek swasta, tetapi ia secara tidak langsung turut membantu mengharumkan nama negara.

"Tetapi yang lebih penting ia membuktikan syarikat tempatan seperti Gamuda-MMC mempunyai keupayaan yang diiktiraf badan terkemuka seperti PBB.

"Ia menunjukkan syarikat-syarikat Malaysia juga ada kebolehan dan idea dalam menyediakan infrastruktur untuk kehidupan rakyat yang lebih baik," katanya.

Lagi pula katanya, ia selari dengan tema Hari Habitat Sedunia tahun ini iaitu Bandar Raya dan Perubahan Iklim dengan pengiktirafan diberikan kepada organisasi yang menyumbang kepada usaha menangani kesan negatif perubahan iklim kepada masyarakat bandar.

Katanya, selain SMART yang mewakili Malaysia, lima lagi pemenang ialah Australia melalui projek pembinaan kemudahan untuk orang tua, Cuba, Namibia, Russia dan Amerika Syarikat.

Terowong SMART yang keseluruhannya sepanjang 9.7 kilometer merupakan yang pertama seumpamanya di dunia bagi tujuan mengatasi banjir dan kesesakan lalu-lintas.

Kata Mohd. Fuad, anugerah itu cukup bermakna kepada SMART kerana ia membuktikan kepakaran tempatan diiktiraf dunia dan mampu mendapat perhatian antarabangsa.

Menurutnya, pada sidang kemuncak itu turut diadakan pembentangan oleh SMART yang mana ia telah menarik minat pelbagai pihak untuk mempelajari teknologi tersebut.

Malah kata beliau, ia juga turut membuktikan projek SMART yang bernilai RM1.9 bilion memberi banyak manfaat kepada warga kota hingga diiktiraf PBB.

"Matlamat utama SMART ialah untuk mengatasi banjir di Kuala Lumpur. Tetapi SMART juga dapat membantu mengurangkan kesesakan dengan 30 peratus lalu-lintas telah berpindah ke SMART. Ini sumbangan SMART," katanya

(Petikan Utusan Malaysia Online - 14/11/2011)

 

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,499,328

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 13
Hari Ini : 539
Tahun ini : 118030
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).