Tengku Mahkota minta rakyat sedia hadapi banjir

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 15/11/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 7949

KOTA BHARU 14 Nov. - Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra menyeru rakyat, terutama yang tinggal berhampiran tebing Sungai Golok dan Sungai Kelantan supaya bersiap sedia menghadapi banjir besar yang diramal akan melanda negeri ini.

Baginda bertitah, mengikut ramalan Institut Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kelantan bakal menghadapi gelombang banjir besar berikutan peralihan Monsun Timur Laut.

"Rakyat negeri ini diminta supaya menjaga keselamatan nyawa supaya tidak terdedah kepada malapetaka seperti jatuh ke dalam longkang, lemas, terkena renjatan elektrik dan lain-lain.

"Banjir banyak memberi kerosakan harta benda, untuk itu perhatian perlu diberikan agar perancangan awal dibuat untuk menyelamatkan harta benda sebelum banjir melanda," titah baginda dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan baginda itu dibacakan oleh Ketua Istiadat Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad pada sidang akhbar di Istana Balai Besar di sini.

Difahamkan, 729 buah pusat pemindahan banjir di seluruh Kelantan disediakan yang boleh menampung 150,410 orang sekiranya bencana alam itu melanda.

Tengku Muhammad Fa-iz turut menggesa golongan belia, khususnya remaja supaya dapat menjadi sukarelawan dan membantu mangsa-mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan semasa kecemasan.

Sikap berminat dengan gerakan sukarela ini amat mulia dan amat sesuai ditanam kepada kanak-kanak waktu remaja.

"Beta juga berharap lebih banyak badan sukarela memberi perhatian untuk membantu penduduk tempatan dalam penjagaan kesihatan dan kebajikan sebelum, semasa dan selepas banjir melanda," titah baginda.

Baginda turut berharap agensi-agensi kerajaan merancang dengan teliti usaha untuk mencegah bencana yang lebih besar melanda rakyat antaranya menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan asas dan melaksanakan 'empangan mencegah banjir' bagi mengelak banjir besar.

"Pakar-pakar dalam bidang ini telah membuat kajian dan lebih baik ia dilaksanakan daripada menyediakan peruntukkan untuk membayar pampasan akibat terlibat bencana setiap tahun.

"Pembinaan 'empangan' untuk mengelak banjir sebagaimana dibuat di negara luar telah terbukti dapat mencegah banjir," titah baginda.

(Petikan Utusan Malaysia Online - 15/11/2011)

 

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,694,452

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 10
Hari Ini : 31
Tahun ini : 313154
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).