Banjir besar akhir November
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 16/11/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 8139
KOTA BHARU: Sebanyak 729 pusat pemindahan banjir sudah dikenal pasti di 10 jajahan negeri ini sebagai persiapan menghadapi banjir besar yang dijangka melanda Kelantan akhir bulan ini.
Mengikut Laporan Status Persediaan Bagi Menghadapi Banjir Negeri Kelantan 2011/2012, semua pusat pemindahan berkenaan berupaya menampung 150,410 mangsa banjir ketika bencana alam itu melanda nanti.
Mengikut laporan yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan itu, pusat pemindahan paling banyak yang akan dibuka ialah di Kota Bharu dengan 141 pusat dengan keupayaan menampung 49,905 mangsa banjir; Kuala Krai (108 pusat pemindahan, 15,100 mangsa) dan Pasir Mas (109 pusat pemindahan, 27,980 mangsa).
Selain itu, 170 pangkalan hadapan akan dibentuk membabitkan 10 jajahan dengan Tanah Merah sebanyak 39 buah; Pasir Mas (33); Kuala Krai (26); Tumpat dan Jeli masing-masing 14; Pasir Puteh (13); Gua Musang (12); Bachok (tujuh) dan masing-masing enam di Kota Bharu dan Machang.
"Bagi memudahkan sistem pengangkutan udara, 105 tapak pendaratan helikopter dikenal pasti di 10 jajahan terbabit dengan 27 di Gua Musang; 16 (Kota Bharu); 11 (Pasir Mas); 10 (Tanah Merah); masing-masing sembilan di Bachok dan Jeli manakala Tumpat dan Machang masing-masing tujuh, Kuala Krai (lima) dan Pasir Puteh (empat)," kata laporan itu.
Menurut laporan itu, 1,500 kampit beras akan diagihkan di pangkalan hadapan, selain 2,000 kilogram (kg) gula, 500 peti sardin, 500 kotak biskut, 400 kg teh, 400 dozen kopi dan 300 peti minyak masak.
"Sebagai persediaan menghadapi banjir tahun ini dan tahun depan, 1,786 petugas akan bertugas di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) banjir negeri dan jajahan, manakala seramai 28,778 anggota penyelamat terbabit dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) paling ramai iaitu seramai 27,487 orang," katanya.
Mengikut laporan itu, banjir di negeri ini dipengaruhi beberapa sungai utama iaitu Sungai Galas, Sungai Lebir, Sungai Kelantan, Sungai Golok serta Sungai Semerak dan sembilan stesen penyukat paras air sungai membabitkan enam jajahan selain 15 stesen sukatan hujan, akan dijadikan rujukan banjir nanti.
Sementara itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, menitahkan rakyat, terutama yang tinggal berhampiran Sungai Kelantan dan Sungai Golok serta kawasan yang sentiasa ditenggelami air, supaya bersedia menghadapi banjir.
Ketua Istiadat Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata baginda prihatin dengan masalah rakyat terutama dalam menghadapi musim tengkujuh nanti dan mengambil iktibar bencana banjir yang kini melanda Thailand.
"Baginda meminta rakyat sentiasa menjaga keselamatan diri supaya tidak terdedah kepada kemalangan seperti jatuh longkang, lemas atau terkena renjatan elektrik, di samping membuat perancangan awal untuk menyelamatkan harta benda sebelum banjir melanda.
"Baginda juga berharap rakyat menjaga kesihatan ketika di pusat pemindahan dengan sentiasa minum air dan makan makanan yang dimasak serta menjaga kebersihan diri dan sekeliling bagi mengelak penyakit seperti taun atau demam denggi," katanya membaca titah baginda di Pejabat Sultan Kelantan di sini, kelmarin.
Selain itu, Abdul Halim berkata, baginda juga menitahkan beliau supaya menjadi sukarelawan bagi membantu mangsa banjir yang sentiasa memerlukan bantuan ketika berpindah ke pusat pemindahan nanti.
"Baginda juga berharap agensi kerajaan membuat perancangan teliti dalam menghadapi musim banjir ini dengan menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan asas, terutama bagi mengelak banjir besar," katanya
(Petikan Berita Harian Online - 16/11/2011)