Rantau Panjang siap sedia
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 22/11/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 7199
RANTAU PANJANG: Penduduk di kawasan sering dilanda banjir terutama di pinggir Sungai Golok, di sini mula membuat persiapan awal dan terpaksa berbelanja besar, termasuk membina jambatan konkrit.
Langkah itu berikutan ramalan banjir besar yang dipercayai akan melanda kawasan Pantai Timur, khasnya negeri ini berikutan musim tengkujuh sudah bermula dengan taburan hujan merata di semua kawasan di negeri ini.
Tinjauan Berita Harian di beberapa kampung sekitar Jeram Perdah, di sini, mendapati kebanyakan kediaman di sekitar tebing Sungai Golok itu dibina dengan struktur tiang tinggi, manakala keadaan lantainya pula berada pada paras sama dengan jalan utama.
Keadaan itu menyebabkan kawasan sekitar rumah penduduk ditenggelami setiap kali banjir sehingga menyukarkan laluan dan terpaksa menggunakan pengangkutan alternatif seperti perahu dan bot setiap kali ingin keluar rumah.
Kos pembinaan titian konkrit berharga antara RM4,000 hingga RM5,000 itu dijangka boleh memberi perlindungan kepada mereka, sekali gus memudahkan mereka memunggah barang untuk ke jalan utama sekiranya banjir berlaku.
Penduduk, Mat Zain Che Harun, 46, berkata beliau sanggup mengeluarkan perbelanjaan RM5,000 untuk membeli simen dan besi yang digunakan untuk membina jambatan di hadapan rumahnya bagi memudahkan kerja memindah barang sekiranya banjir berlaku.
"Kebanyakan jambatan biasanya berukuran panjang antara lima atau tujuh meter dan kerja pembinaannya sejak seminggu lalu yang bermula dari bahu jalan sehingga ke rumah penduduk dengan ketinggian sehingga tiga meter.
"Setiap kali mendengar ramalan cuaca, kami bimbang, lebih-lebih lagi negeri ini dijangka berdepan bencana banjir besar hujung bulan ini," katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.
Beliau yang tinggal di Bukit Lata bersama enam ahli keluarga berkata, mereka sekeluarga hanya menggunakan sampan untuk berulang alik ke kawasan tinggi apabila kampungnya dilanda banjir.
"Sebelum ini, rumah saya sering ditenggelami banjir kerana terletak di kawasan rendah. Jika ramalan banjir besar berlaku, sudah pasti tempat tinggal saya lebih teruk. Saya dan adik beradik mengambil keputusan untuk membina jambatan ini," katanya yang bekerja sendiri.
Suri rumah, Mariam Ibrahim, 40, berkata beliau meminta suaminya membina jambatan konkrit untuk memudahkan mereka sekeluarga menaiki sampan ke tempat lebih tinggi ketika banjir.
"Rumah kami di kawasan rendah sehingga memaksa tiangnya dibina lebih tinggi. Jambatan seperti ini lebih memudahkan pergerakan kami, selain menjamin keselamatan anak ketika berdepan musim banjir kelak," katanya yang tinggal di Kampung Lubok Gong.
(Petikan Berita Harian online 22/11/2011)