Cahaya Baru ‘banjir termenung’

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 25/11/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 7367

BATU PAHAT: Penduduk Cahaya Baru dekat Ayer Hitam di sini, berdepan situasi 'banjir termenung' apabila bencana alam yang menenggelamkan kawasan sekitar rumah mereka sejak sebulan lalu, masih belum surut hingga kini.

Banjir sedalam kira-kira 0.5 meter yang mengenang rumah penduduk menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan menghuni pusat pemindahan demi keselamatan keluarga.

Bagai jatuh ditimpa tangga, apabila banjir yang bermula sejak petang 23 Oktober lalu itu tidak menunjukkan tanda akan reda, rumah yang ditinggalkan mangsa banjir pula menjadi sasaran pencerobohan monyet liar yang merosakkan bumbung dan barangan dalam rumah.
Banjir yang tidak surut itu menyebabkan keluarga Ghozali Mat Rejab, 46, bersama isteri, Roseyati Ismun, 41, bersama lima anak berusia dua bulan hingga 10 tahun itu, terpaksa menjadikan balai raya kampung itu sebagai tempat berlindung.

Ghozali yang bekerja sendiri, berkata tambah menyedihkan ketika mereka sekeluarga terpaksa meninggalkan rumah dan berpindah ke balai raya itu dalam keadaan isterinya masih berpantang kerana baru melahirkan anak bongsu yang kini berusia hampir dua bulan.

“Hari ini genap sebulan keluarga saya menumpang di balai raya kampung sejak banjir termenung melanda rumah ekoran aliran air Sungai Sembrong yang tersumbat dan tohor.

“Saya sekeluarga sudah tidak berdaya memikirkan nasib kami sekeluarga apatah lagi pendapatan hanya RM600 sebulan hasil kerja kampung, mana mungkin saya menampung perbelanjaan membaiki rumah kami yang rosak teruk. Banjir ini menjejaskan pendapatan saya yang bergantung kepada kerja membersih kebun dan mengambil upah memotong buah sawit milik penduduk.
“Lebih menyedihkan, banjir besar yang dijangka melanda kawasan ini tidak lama lagi menyebabkan kami mungkin terpaksa melupakan terus hasrat untuk pulang ke rumah sendiri dalam waktu terdekat," katanya ketika ditemui pulang ke rumahnya untuk meninjau keadaan rumahnya yang digenangi banjir termenung.

Ghozali berkata, arahan supaya beliau sekeluarga berpindah ke pusat penempatan sementara adalah perkara biasa setiap kali tiba musim hujan tetapi sebelum ini pemindahan mereka biasanya tidak lebih dua minggu kerana banjir cepat surut.

Keluarganya bersama tiga lagi keluarga membabitkan 22 penduduk itu ditempatkan di balai raya kampung berkenaan selepas hujan lebat yang turun sejak Jumaat lalu menenggelamkan empat rumah penduduk di Kampung Cahaya Baru dan Kampung Sawah Sagil, Ayer Hitam, dekat sini.

Ghozali merayu agar kerajaan negeri dan pihak berkuasa membantu meringankan masalah keluarga penduduk terjejas khususnya bagi membaiki keadaan rumah masing-masing yang rosak akibat bencana alam itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali, berkata banjir melanda empat rumah penduduk Kampung Cahaya Baru dan Kampung Sawah Sagil dekat Ayer Hitam itu, berlaku secara tiba-tiba dan di luar jangkaan dikeluarkan Jabatan Metereologi, yang menjangkakan banjir di Johor bermula akhir Januari hingga Februari depan.

“Banjir secara tiba-tiba itu menyebabkan kerja pembersihan dan mendalamkan sungai dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah di Sungai Sembrong, depan Kampung Sawah, Sagil dan Kampung Cahaya Baru terpaksa dihentikan, ” katanya.

(Petikan Berita HarianOnline 25/11/2011)

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,691,424

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 35
Hari Ini : 337
Tahun ini : 310127
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).