Banjir di Pantai Timur positif
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 29/11/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 6114
KUALA LUMPUR 28 Nov. — Keadaan banjir di Pantai Timur petang ini menunjukkan perkembangan positif dengan banjir di Terengganu pulih sepenuhnya manakala di Kelantan, hanya dua daerah masih terjejas akibat iaitu Pasir Mas dan Tumpat.
Di KELANTAN, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, daerah Kota Baharu kini bebas daripada bencana itu apabila semua pusat pemindahan ditutup.
“Sehingga kini, mangsa banjir yang ditempatkan di dua daerah itu ialah seramai 1,327 orang membabitkan 380 keluarga.
“Hanya tujuh pusat pemindahan yang masih beroperasi iaitu enam di Pasir Mas dan satu di Tumpat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata paras air Sungai Golok di Rantau Panjang petang ini terus menunjukkan penurunan kepada 10.05 meter, bagaimanapun, masih melebihi paras bahaya iaitu sembilan meter.
Selain itu, jurucakap tersebut berkata lima laluan di Pasir Mas dan Tumpat ditutup kepada kenderaan ringan.
“Di Pasir Mas, empat laluan ditutup iaitu Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu Kilometer 10; Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 Kilometer 1; Jalan Pengkalan Rakit Kilometer 3 dan Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram Kilometer 3.
“Satu laluan ditutup di Tumpat iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti Kilometer 3,” katanya.
Banjir di Kelantan meragut empat nyawa manakala tiga lagi yang dilaporkan hilang, dikhuatiri lemas.
Empat mangsa lemas itu termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun manakala mereka yang hilang terdiri daripada remaja berusia antara 10, 14 dan 15 tahun.
Mereka yang masih hilang dikenali sebagai Mohd. Alif Rizuan, 15, yang mandi di sebatang sungai di Machang dan Mohd. Azman Yusuf, 17, di Sungai Golok, namun mayat Mohd. Farid Mohd Yusof, 20, di Pantai Kuala Pak Amat dilaporkan telah ditemui pukul 8.02 malam tadi.
Sementara itu, di TERENGGANU, semua 26 mangsa banjir terakhir yang berada di pusat pemindahan Kuala Terengganu, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri berkata enam keluarga yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 4 petang tadi.
Banjir musim tengkujuh melanda beberapa daerah di Terengganu Ahad lalu setelah hujan lebat berterusan selama beberapa hari sebelum itu.
Setiu antara yang awal dilanda banjir diikuti daerah lain seperti Hulu Terengganu, Marang, Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut sehingga memaksa hampir 3,000 penduduk dipindahkan.
Banjir kali ini turut mencatat satu kematian di Setiu melibatkan kanak-kanak berumur lapan tahun.
Selain itu, Syarikat Minyak Petronas Wilayah Timur menyediakan bot bagi membolehkan kakitangannya di kawasan yang dinaiki air ke pejabat.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur Zulkifly, M Ismail berkata, pihaknya menyediakan kemudahan itu untuk kegunaan ketika musim banjir kerana tidak mahu bencana alam tersebut dijadikan alasan untuk tidak ke pejabat.
“Ini merupakan langkah pertama yang dibuat bagi memastikan semua pekerja dapat sampai ke pejabat dan menjalankan tugas seperti biasa, dan banjir bukanlah satu alasan untuk mereka tidak menjalankan operasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Media di sini hari ini.
Langkah itu turut dilaksanakan bagi meringankan beban kakitangan yang dilanda musibah tersebut dan bot berkenaan juga akan digunakan untuk membantu mangsa banjir lain. — BERNAMA
(Petikan Utusan Malaysia Online 29/11/2011)