Bah di Pantai Timur makin pulih

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 29/11/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 7067

KUALA LUMPUR: Banjir di Pantai Timur kini semakin bertambah baik dengan keadaan di Terengganu pulih sepenuhnya, manakala di Kelantan, hanya dua daerah masih terjejas iaitu di Pasir Mas dan Tumpat dengan 1,309 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan.

Di KUALA TERENGGANU, banjir pulih sepenuhnya apabila semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan termasuk yang terakhir iaitu di Sekolah Kebangsaan Guntong di sini, kini dibenarkan pulang petang semalam.

Setiausaha Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Tajul Ariffin Muhamad, berkata cuaca cerah dan hujan tidak lebat membolehkan air sungai berada di paras baik dan banjir surut.
Bagaimanapun beliau berkata, penduduk terutama di kawasan yang mudah dinaiki air diminta sentiasa berjaga-jaga kerana banjir dijangka melanda pada bila-bila masa.

Di KOTA BHARU, pusat penempatan banjir di Kota Bharu yang dibuka sebelum ini ditutup semalam apabila semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan paras air semakin surut.

Bagaimanapun, dua jajahan iaitu Pasir Mas dan Tumpat merekodkan 1,309 mangsa membabitkan 373 keluarga di tujuh pusat pemindahan banjir sehingga jam 6 petang semalam berbanding 1,761 orang membabitkan 546 keluarga, kelmarin.

Mengikut portal rasmi eBanjir Negeri Kelantan, 265 mangsa lelaki, wanita (386), kanak-kanak lelaki (329) dan kanak-kanak perempuan (329) yang ditempatkan di pusat pemindahan dengan jajahan Pasir Mas mencatat jumlah tertinggi iaitu 812 orang, diikuti Tumpat (497).
Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas masih mencatatkan paras air melebihi paras bahaya iaitu 10.03 meter.

Bagaimanapun, Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Jambatan Guillemard pula masing-masing berada pada paras berjaga-jaga.

Beberapa jalan di jajahan Pasir Mas yang masih ditutup kepada kenderaan ringan ialah Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) di Km3 (Kampung Siram), Jalan Rantau Panjang – Panglima Bayu, Km10 di Kampung Kubang Rambutan, Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 di Km1 (Kampung Banggol Kulim), Jalan Pengkalan Rakit di Km3 (Kampung Pengkalan Rakit) di Pasir Mas.

Satu laluan di Jalan Cabang 4, Kampung Jambu, Meranti, Km3 (Kampung Ana) di Tumpat juga masih ditutup kepada kenderaan ringan.

(Petikan Berita Harian Online 29/11/2011)

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,498,887

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 7
Hari Ini : 98
Tahun ini : 117589
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).