Semua pusat pemindahan ditutup
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 29/11/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 6952
KUALA TERENGGANU: Semua pusat pemindahan banjir di negeri ini sudah ditutup sepenuhnya dengan yang terakhir membabitkan 26 mangsa dari Kampung Jeram Hilir dan Kampung Banggol Nyiur, di sini.
Menurut laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, mangsa terbabit yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Guntong di sini, dibenarkan pulang pada jam 5 petang semalam.
Cuaca baik walaupun kadangkala hujan di daerah ini menyebabkan banjir surut sepenuhnya, sekali gus membolehkan mangsa dibenarkan pulang ke rumah.
Sementara itu, tinjauan di beberapa kampung yang dilanda banjir sebelum ini mendapati penduduk sibuk membersihkan rumah mereka.
Penduduk, Shafin Jusoh, 51, berkata hujan ditambah limpahan air sungai mengakibatkan rumahnya di Kampung Banggol Nyiur, di sini, ditenggelami air sedalam dua meter, Khamis lalu.
“Pengalaman setiap tahun sejak 16 tahun lalu dilanda banjir menjadikan saya lebih mudah membuat persiapan menyimpan barangan rumah di tempat selamat,” katanya.
Menurutnya, jalan utama di kampung berkenaan boleh digunakan sepenuhnya bermula jam 9 pagi semalam dan kesempatan itu diambil penduduk untuk membawa pulang kenderaan mereka ke rumah.
(Petikan Harian Metro Online 29/11/2011)