Sedia hadapi banjir kedua
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 30/11/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 6172
IPOH: Orang ramai terutama penduduk di negeri yang dilanda banjir baru-baru ini atau berdepan risiko bencana itu diingatkan tidak terlalu leka, sebaliknya bersedia menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua dan ketiga.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata ini berdasarkan ramalan cuaca yang menjangka musim tengkujuh hanya akan berakhir Januari depan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menjangkakan keadaan itu dan persediaan rapi sudah dibuat, termasuk memastikan anggota bomba dan penyelamat sedia digerakkan bila-bila masa bagi membantu memindah serta menyelamatkan mangsa sekiranya banjir berulang.
"Kita baru melepasi banjir gelombang pertama dan dijangka berlaku gelombang kedua dan ketiga sehingga awal tahun depan. Anggota kami sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapinya, terutama untuk memindah dan menyelamatkan mereka terbabit.
"Kita akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan mangsa banjir mendapat bantuan sewajarnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai persediaan anggota bomba dan penyelamat dalam menghadapi banjir tahun ini.
Wan Mohd Nor berkata, meskipun banjir di beberapa negeri terutama di Pantai Timur dilaporkan mulai pulih, pihaknya tetap berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
(Petikan Berita harian Online 30/11/2011)