Polis Maran sedia hadapi banjir
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 02/12/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 7316
MARAN 1 Dis. – Polis Maran kini bersiapsiaga menghadapi banjir yang dijangka berlaku di daerah ini berikutan hujan lebat tidak menentu sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabuddin berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemindahan Mangsa Banjir daerah, pihaknya sentiasa memantau paras air Sungai Pahang di dua stesen penyukat di Chenor dan Kampung Lubuk Paku, dekat sini.
Menurutnya, setakat ini air Sungai Pahang belum mencapai tahap bahaya, bagaimanapun pemantauan tetap dilakukan setiap masa bagi mengesan perubahan paras air.
‘‘Polis Maran sentiasa bersiapsiaga dengan kelengkapan seperti bot dan anggota untuk membantu mangsa banjir,‘‘ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.
Ahmad Johari memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Maran, wakil rakyat, penghulu, Jabatan Kesihatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi melicinkan proses bantuan kepada mangsa banjir.
Tambahnya, Polis juga berperanan sebagai Pusat Kawalan Operasi Bencana yang ditempatkan di Bilik Gerakan kerana memiliki alat komunikasi canggih untuk berhubung di semua kawasan dan situasi.
‘‘Senario banjir di daerah ini pada 2007 menyaksikan seramai 2,211 keluarga daripada 88 kampung telah dipindahkan ke 65 pusat pemindahan dalam tempoh selama 22 hari,‘‘ katanya.
Beliau turut mengingatkan penduduk yang tinggal di tepi Sungai Pahang supaya berwaspada dan segera berpindah jika diarahkan oleh pihak berkuasa.
(Petikan Utusan Malaysia Online 02/12/2011)