Tak sempat selamat barangan
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 02/12/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 6811
TANJONG KARANG 1 Dis. – Meskipun masih berpantang selepas melahirkan anak pertamanya pada 5 November lalu, Noor Azizah Mohd. Tugi, 23, perlu menempuh cabaran getir berikutan Kampung Sungai Sireh di sini dilanda banjir sehingga menyebabkan 208 penduduk terpaksa dipindahkan.
TANJONG KARANG 1 Dis. – Meskipun masih berpantang selepas melahirkan anak pertamanya pada 5 November lalu, Noor Azizah Mohd. Tugi, 23, perlu menempuh cabaran getir berikutan Kampung Sungai Sireh di sini dilanda banjir sehingga menyebabkan 208 penduduk terpaksa dipindahkan.
Dia yang kini ditempatkan di pusat penempatan sementara di balai raya kampung itu bagaimanapun tetap bersyukur kerana keperluan asas untuk bayi lelakinya itu sempat diselamatkan daripada rosak akibat bencana alam tersebut.
“Walaupun bersedih, saya tetap bersyukur kerana hanya peti sejuk dan mesin basuh yang rosak akibat banjir. Barang berharga lain sempat diselamatkan.
“Malah, saya juga gembira dengan kemudahan di penempatan sementara ini yang bersih dan selesa selain layanan baik yang diberikan petugas yang ditugaskan di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa yang ditemui, Misnan Paiman, 52, berkata, dia terkilan apabila mendapati tilam kesihatan yang dibelinya pada harga lebih RM1,000 rosak teruk kerana tidak sempat diselamatkan dalam kejadian tersebut.
“Saya dan isteri baru bangun dari tidur untuk solat subuh pada pagi Selasa lalu dan menyedari rumah kami telah dimasuki air. Selepas diperiksa, saya mendapati tilam kesihatan yang dibeli beberapa tahun lalu telah rosak dibasahi air banjir.
“Bukan itu saja, katil, almari serta set dapur saya juga rosak teruk kerana dimasuki air,” katanya yang menggunakan rakit batang pokok pisang buatannya untuk keluar dari kawasan rumahnya yang teruk dinaiki air.
Seorang suri rumah, Juhriah Tosan (gambar), 21, berkata, ketika menyedari rumahnya dinaiki air, dia dan suaminya bersama anak mereka berusia lapan bulan ketika itu sedang nyenyak tidur.
“Akibat banjir itu, perabot serta barang elektrik milik kami rosak teruk kerana tidak sempat diselamatkan.
“Saya berharap keadaan banjir ini akan surut segera supaya kami sekeluarga boleh kembali ke rumah selain memastikan bayi kami ini tinggal dalam keadaan selesa,” katanya yang kini berlindung di penempatan sementara di Sawah Sempadan di sini.
(Petikan Utusan Malaysia Online 02/12/2011)