Negeri Sembilan siap sedia hadapi banjir - MB
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 02/12/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 7064
SEREMBAN 1 Dis. - Kerajaan negeri sudah bersedia untuk menghadapi banjir sekiranya ia melanda negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, seluruh jentera bagi menghadapi bencana alam itu telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan hujan kerap ketika ini.
Pada masa sama, katanya, penduduk terutamanya di kawasan rendah diminta bersiap sedia bagi mengelakkan mereka terperangkap sekiranya banjir berlaku dengan cepat.
"Barang-barang berharga dan penting perlu diletakkan di tempat tinggi dan penduduk perlu meninggalkan rumah dengan segera jika diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
"Tindakan ini juga penting kerana jika paras air naik dengan cepat, penduduk menjadi kelam kabut kerana mahu menyelamatkan barangan tersebut sebelum berpindah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau juga mahu para pemimpin di peringkat akar umbi bersedia menghadapi bencana alam itu terutamanya memastikan kerja-kerja menyelamat dibuat dengan sebaik mungkin.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu, kerajaan negeri telah mengenal pasti kedai di kawasan dilanda banjir yang boleh membekalkan barangan keperluan dengan segera kepada mangsa di pusat pemindahan.
Katanya, perkara itu diberi perhatian serius kerana kerajaan tidak mahu mangsa menghadapi masalah mendapatkan barangan keperluan semasa banjir.
"Barang-barang seperti makanan, selimut dan tikar adalah antara barangan yang perlu dibekalkan segera di tempat yang dilanda banjir," ujarnya.
Mengenai tebatan banjir, beliau berkata, jawatankuasa sempadan bersama antara negeri ini, Johor dan Melaka telah ditubuhkan dengan diterajui oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Jelasnya, ia bertujuan supaya pelan tindakan bersama dapat dilakukan memandangkan Lembangan Sungai Muar yang menjadi punca banjir membabitkan ketiga-tiga negeri itu.
(Petikan Utusan Malaysia Online 02/12/2011)