JKM Johor buat persiapan awal hadapi banjir

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 05/12/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 4309

KOTA TINGGI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sudah membuat persiapan awal dengan menyediakan bekalan bagi menampung keperluan sehingga 100,000 mangsa banjir di seluruh negeri.

Bekalan berkenaan dihantar secara berperingkat sejak September lalu membabitkan 47 pusat pangkalan hadapan dengan tumpuan daerah dan kawasan berisiko tinggi dilanda banjir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan, Dr Robia Kosai, berkata barangan keperluan yang dihantar secara berperingkat itu termasuk kemudahan tikar, selimut, tilam dan bantal selain makanan seperti sardin, beras, gula dan tepung.

Katanya, Jawatankuasa Bencana Alam di setiap daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah masing-masing juga sudah bersiap sedia menghadapi bencana terbabit jika ia melanda.

“Berbanding jumlah mangsa mencecah lebih 200,000 orang ketika banjir besar pada 2007, tahun ini kita jangkakan, jumlah mangsa boleh mencecah hingga 100,000 orang di seluruh Johor,” katanya selepas menyampaikan sumbangan JKM kepada keluarga pelajar yang lemas di Kampung Makam dekat sini.

Dalam kejadian Sabtu minggu lalu, Mohd Aidil Ismail dan Zamil Zainal Abidin masing-masing, 13, lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama di Sungai Pemandi.

Sumbangan diterima ibu dua remaja terbabit, Fatimah Abdullah, 47 dan Jamaliah Basri, 41. Hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan itu ialah Pegawai JKM Daerah, Sabariah Salim dan Ketua Kampung, Mohamad Samin Jaji.
Dr Robia berkata, lokasi 47 pangkalan hadapan dan pusat pemindahan banjir kali ini sudah dikenal pasti lebih selamat bagi memastikan pengalaman beberapa pusat turut ditenggelami banjir pada 2007 tidak berulang.

Mengulas kejadian lemas membabitkan dua pelajar SMK Bandar Kota Tinggi itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak terutama pada musim cuti sekolah dan musim tengkujuh sekarang.

Katanya, walaupun soal hidup dan mati ditentukan tuhan, sebagai ibu bapa, keluarga dan ahli masyarakat perlu sentiasa peka dan berwaspada dalam soal keselamatan nyawa anak.

“Bagi tujuan keselamatan, jika ibu bapa mahu membawa anak-anak bermandi manda ketika cuti persekolahan ini, mereka boleh bawa ke kawasan yang diwartakan dan selamat seperti kolam mandi yang dikawal pengawal keselamatan.

“Begitu juga ketika berlaku banjir, ibu bapa mesti mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Jangan biarkan mereka main air banjir sesuka hati,” katanya. 

(Petikan Berita Harian Online 05/12/2011)

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,691,776

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 35
Hari Ini : 689
Tahun ini : 310478
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).