Raja Thailand gesa rakyat terus bersatu
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 06/12/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 7261
Raja Bhumibol yang meninggalkan hospital di mana beliau menerima rawatan sejak lebih dua tahun lalu, menyampaikan titah ucapan selama lima minit dari anjung Istana Besar di Bangkok.
Sebelum itu, beliau disambut puluhan ribu rakyat Thailand dengan kibaran bendera ketika meninggalkan hospital menaiki kerusi roda dan dibawa berarak sehingga ke istana.
“Adalah menjadi tanggungjawab penduduk menyelesaikan masalah dengan penuh kesungguhan, terutama mereka yang mengalami kesengsaraan akibat banjir pada masa sekarang,” katanya.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen itu, beliau bertitah, perkara paling penting adalah tidak ada konflik, selain menyokong antara satu sama lain dalam mencapai sasaran untuk kepentingan rakyat dan keselamatan negara.
“Perkara paling penting ialah anda tidak sepatutnya berpecah-belah atau berbalah sesama sendiri.
“Kita perlu saling memberi inspirasi antara satu sama lain, untuk memperoleh hasil terbaik dan memastikan negara sentiasa di dalam keadaan stabil,” katanya.
Raja Bhumibol dimasukkan ke hospital pada September 2009 untuk rawatan masalah pernafasan dan jarang muncul di khalayak.
Sebarang perbincangan membabitkan keluarga diraja adalah disifatkan perkara sensitif di negara Thailand yang dilanda masalah politik itu.
Di bawah undang-undang Thailand, mereka yang didapati bersalah menghina raja, permaisuri atau perwaris boleh dikenakan hukuman penjara hingga 15 tahun.
Bulan lalu seorang lelaki Thailand berusia 61 tahun dipenjara selama 20 tahun kerana menghantar pesanan ringkas menghina keluarga diraja, satu perintah yang menarik kritikan kumpulan hak asasi dan Kesatuan Eropah.
(Petikan Berita Harian Online -06/12/2011)