Unit khas pantau Sungai Jelok
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 09/12/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 10484
KAJANG: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan menubuhkan Unit Tindakan Khas Kecemasan Banjir sebagai persediaan menghadapi banjir di bandar ini, sementara menunggu keputusan perpindahan lokasi tapak niaga di Pasar Kajang yang dikatakan menjadi punca banjir kilat, Jumaat minggu lalu.
Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Shahriman Mohd Nor, berkata unit khas itu akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga 24 jam dalam bilik gerakan banjir mengikut amaran paras bahaya air Sungai Jelok.
Unit itu akan dianggotai penguat kuasanya bagi membolehkan bantuan segera diberi kepada mangsa sekiranya kejadian Jumaat lalu berulang.
“Standard Prosedur Operasi (SOP) tindakan unit ini sudah dibincangkan semalam (kelmarin) dan satu mesyuarat terperinci bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula akan diadakan selewat-lewatnya akhir bulan ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Difahamkan, mesyuarat bersama MPKj dan JPS itu dijadualkan bagi membincangkan pengalihan lokasi tapak niaga di Pasar Kajang serta pengubahsuaian jambatan merintangi Sungai Jelok yang menjadi punca banjir kilat sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM2 juta kepada 103 peniaga.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Malaysia, Ir Hanapi Mohammad Nor di Pulau Pinang, kelmarin, mengenai perjanjian bersama peniaga yang dijadualkan berakhir pada 2015 menjadi kekangan utama pengalihan lokasi peniaga.
Hanapi mendedahkan kegagalan mengalihkan lot gerai itu dan peniaga ke kawasan lain menjejaskan usaha membina dinding sepanjang 200 meter di tebing Sungai Jelok, selain masalah jambatan rendah yang memerangkap sampah dan mengganggu aliran air sungai sebagai punca banjir itu.
Beliau dilaporkan berkata, banjir kilat yang melanda Kajang berpunca dari dua jambatan merintangi Sungai Jelok yang tiada paras selesa, selain rizab sungai sepatutnya digunakan bagi projek tebatan banjir diambil alih 21 tapak niaga.
Jumaat minggu lalu, puluhan kenderaan, bank dan kawasan kediaman di pusat bandar Kajang dilanda banjir kilat ke paras dada selepas hujan lebat hampir dua jam sehingga mengakibatkan paras sungai naik mendadak sehingga berlaku limpahan.
(Petikan Berita Harian Online -09/12/2011)