45 mangsa banjir di Kuantan dipindahkan
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 12/12/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 17155
KUANTAN 11 Dis. - Seramai 45 orang mangsa banjir dari tiga buah kampung di daerah ini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cenderawasih Timur di sini hari ini.
Menurut Ketua Kampung Bukit Setongkol, Sidek Amiruddin, semua mereka dari 13 buah keluarga yang tinggal di Kampung Jawa, Kampung Baru dan Kampung Segantang Lada di sini diarahkan berpindah berikutan air naik sedalam satu meter akibat hujan lebat.
"Dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan beberapa agensi lain, kesemua mereka dipindahkan kira-kira pukul 2 pagi tadi.
"Semua mangsa telah menerima bantuan awal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Kesihatan bagi meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui di pusat tersebut di sini hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa, Kamiliya Sulaiman, 41, dari Kampung Jawa berkata, dia mula berjaga-jaga apabila hujan lebat sepanjang hari kerana bimbang rumahnya akan dinaiki air.
"Saya tidak dapat tidur kerana bimbangkan keadaan suami yang lumpuh separuh badan dan dua anak kecil sekiranya berlaku banjir.
"Bagaimanapun, sangkaan saya benar berlaku apabila air mula naik ke paras tangga rumah dan memenuhi ruang dapur di tingkat bawah," jelasnya.
Tambahnya, dia segera meminta jiran mendapatkan bantuan bagi mengangkat suami ke tempat selamat memandangkan dia juga perlu mengawasi empat anak yang berusia satu hingga 13 tahun.
"Saya bersyukur kerana tidak berapa lama kemudian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat datang menyelamatkan kami sekeluarga termasuk mengangkat suami ke dalam bot mereka.
"Tanpa bantuan mereka, saya tidak tahu bagaimana untuk menyelamatkan suami dan anak kerana jiran-jiran juga sibuk menyelamatkan diri dan barangan masing-masing," ujarnya.
(Petikan Utusan Malaysia Online - 12/12/2011)