Penduduk terkejut - Banjir Kilat Di Ibu Negara
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 14/12/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 6947
KUALA LUMPUR: Hujan lebat selama dua jam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar ibu kota dinaiki air sedalam 0.5 hingga tiga meter.
Antara kawasan terjejas Jalan Tun Razak, Kampung Baru dan Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas teruk hingga jam 8 malam.
Di Jalan Haji Sirat, Kampung Baru, 30 rumah dinaiki air menyebabkan penduduknya kelam-kabut mengalihkan barangan berharga ke tempat selamat.
Mangsa, Khalili Yunus, 46, yang berniaga sendiri berkata, dia terkejut apabila melihat rumah diduduki sejak 15 tahun lalu dinaiki air buat pertama kali dalam masa tidak sampai dua jam.
“Ketika tiba di rumah jam 5 petang, saya lihat rumah mula dinaiki air separas satu meter.
“Tujuh anak saya yang berada dalam rumah hanya mampu menangis melihat paras air semakin naik. Saya segera mengarahkan mereka ke tempat lebih selamat sebelum mengangkat barangan berharga ke tempat lebih tinggi,” katanya. Menurutnya, akibat banjir itu, dia mengalami kerugian apabila beberapa perabot termasuk televisyen rosak.
Jurugambar NSTP, Yusni Ariffin, 36, yang turut menjadi mangsa banjir berkata, rumahnya dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Katanya, punca air naik dengan cepat disebabkan longkang tersumbat menyebabkan aliran air tersekat dan melimpah ke rumah penduduk.
“Saya mahu pihak berkenaan membuat pemantauan ke atas sistem perparitan di kawasan ini kerana ia mengancam nyawa dan harta benda penduduk,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, dalam kejadian banjir di Jalan Semarak, pihaknya memindahkan 23 kanak-kanak berusia tiga bulan hingga sembilan tahun serta tiga guru sebuah taska di kawasan itu yang dinaiki air.
Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan bot bagi menyelamatkan semua mangsa kerana keadaan air dari Sungai Bonus melimpahi tebing hingga mencecah 1.5 meter.
“Selepas selesai memindahkan semua mereka ke surau berdekatan di kawasan yang lebih tinggi, kami kemudian memindahkan 20 orang pelajar Multimedia College Sdn Bhd yang berada di bangunan bersebelahan taska itu,” katanya.
(Harian metro Online 14/12/2011)