Kampung Tupong Ulu banjir
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 27/12/2011 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 13042
KUCHING: Beberapa rumah di Kampung Tupong Ulu di sini, dinaiki air sedalam satu meter, kira-kira jam 5 pagi semalam, ekoran hujan lebat berterusan selain bertembung dengan air pasang besar di Sungai Sarawak.
Penduduk, Putit Sabari, 69, berkata air mula memasuki rumahnya pada jam 4 pagi dan terus naik sehingga hampir satu meter.
Tinjauan Berita Harian kira-kira jam 8 pagi semalam mendapati air beransur surut tetapi masih masih pada paras lutut di dalam rumah penduduk terbabit.
"Oleh kerana rumah kami dua tingkat, semua barang di tingkat bawah dipindahkan ke tingkat atas, sejurus menyedari air sudah naik.
"Begitu juga dengan rumah anak saya di sebelah, semua perabot di tingkat bawah dipindahkan ke tingkat atas," katanya.
Keadaan banjir semakin pulih pada jam 10 pagi, apabila air Sungai Sarawak semakin surut.
Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Madzhi, 49, berkata beliau menyedari air naik di pekarangan rumahnya ketika bangun untuk solat Subuh, kira-kira jam 5 pagi.
"Hujan masih lebat dan apabila saya melihat keluar rumah, air sudah naik, namun masih belum masuk ke rumah kerana lantai rumah saya tinggi.
"Namun kalau hujan lebat berterusan, kemungkinan paras air akan terus naik, sekali gus akan masuk ke rumah saya," katanya.
Abu Bakar berkata, tinggi lantai rumahnya dari tanah ialah 1.8 meter dan pernah dua kali dinaiki beberapa tahun sebelum ini.
Beliau yang bekerja sebagai Pembantu Hal Ehwal Ekonomi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, berkata ini kali keempat kawasan rumahnya dinaiki air. Kali terakhir banjir melanda kawasan itu ialah pada 2009 yang mencecah 2.5 meter.
Bapa kepada tiga anak itu, berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini, mereka sekeluarga sentiasa bersiap sedia untuk berdepan masalah banjir.
Sementara itu, paras air di beberapa lagi kawasan di bandar raya ini termasuk Kampung Gita Kubur, Samariang Pinggir, Samariang Abuk dan Bintawa Hulu yang dinaiki air sehingga 0.9 meter, pulih pada jam 10 pagi
(Petikan Berita Harian Online - 27/12/2011)