Keadaan banjir di empat negeri tidak banyak berubah

Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 28/12/2011 [ 00:00:00 ]     Jumlah Capaian: 5893

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa negeri tidak banyak berubah setakat 6 petang ini dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir.

Seramai 7,592 mangsa banjir membabitkan 1,632 keluarga dipindahkan ke 20

pusat pemindahan di Sarawak setakat 5 petang tadi. Di KUCHING, jurucakap bilik gerakan banjir negeri ketika dihubungi, berkata 20 kawasan rendah di empat bahagian di negeri berkenaan terjejas teruk akibat banjir berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu dan fenomena air pasang besar.


Empat bahagian tersebut ialah Kuching, Samarahan, Sibu dan Sri Aman.

"Kawasan paling teruk ialah Kampung Simpok di Kuching dengan 1,610 penduduk terjejas, Sadong Jaya di Samarahan (1,302), Ulu Balingian di Sibu (424) dan Pantu di Sri Aman (74)," katanya.

Jurucakap itu berkata, jumlah mangsa banjir dijangka bertambah pada sebelah malam berikutan hujan berterusan di beberapa kawasan di Sarawak serta air pasang besar.
Di SANDAKAN, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 351 orang setakat 5 petang berbanding 194 pada 9 pagi tadi.

Jurucakap Bilik Operasi Majlis Perbandaran Sandakan berkata, semua mangsa
daripada 101 keluarga dari Kampung Gum-Gum, ditempatkan di Dewan Sri Gum-Gum.

Katanya, mangsa banjir yang balik ke rumah pada sebelah pagi diarahkan berpindah semula ke pusat pemindahan ekoran hujan berterusan sejak semalam
hingga hari ini dan dikhuatiri air Sungai Gum-Gum meningkat secara mendadak.

Di daerah Beluran, air banjir mula naik di Kampung Pinampadan, Paitan tetapi sehingga petang ini belum ada penduduk yang dipindahkan.

Penduduk di Kampung Tangkarason, Tanjung Nipis dan Simpangan juga diarahkan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya air sungai di kampung itu meningkat secara mendadak.

Di ROMPIN, jumlah mangsa banjir turun kepada 567 daripada 118 keluarga, berbanding 619 orang pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin berkata, pusat pemindahan banjir Dewan Teluk Gading yang sebelum ini menempatkan 52 mangsa, ditutup 3.30 petang tadi.

Beliau berkata, 430 mangsa masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu dan 137 lagi di SK Sarang Tiong.

"Mereka masih perlu berada di pusat pemindahan berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di kampung mereka yang menyebabkan banjir," katanya ketika
dihubungi.

Antara kampung yang terjejas akibat fenomena itu ialah Kampung Sarang Tiong, Kampung Pianggu, Kampung Setajam dan Kampung Garung.

Di JOHOR, 1,177 mangsa banjir berada di pusat pemindahan di tiga daerah sehingga petang ini berbanding 1,214 orang pagi tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat 6 petang, semua mereka ditempatkan di 17 pusat pemindahan iaitu lapan di Segamat, enam di Mersing dan tiga di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin yang sebelum ini ditenggelami air, kini sudah boleh dilalui kenderaan. - BERNAMA

(Petikan Berita Harian Online 28/12/2011)

Pengumuman

PERINGKAT 3 (24 Jam)

Waktu Pelaporan : 10.00 pagi, 2.00 petang, 6.00 petang, 10.00mlm, 2.00 pagi, 6.00 pagi

www.bencanalam.jkr.gov.my

03-26107727



Bual Bicara Bencana

Sila log masuk terlebih dahulu. Ruangan ini bagi pengguna berdaftar sahaja.

Status Bilik Gerakan Banjir

Statistik Pengunjung

2,691,887

Pengunjung Terkini

Pengunjung Online : 17
Hari Ini : 800
Tahun ini : 310589
Kemaskini terakhir : 26/01/2023
© 2011 JKR. Hakcipta Terpelihara.
Dibangun dan disenggarakan oleh oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ).

PENAFIAN : Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ-JKR).