Manfaatkan derma bagi tingkat kemudahan masjid
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 05/01/2012 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 6387
BESUT 4 Jan. - Semua jawatankuasa masjid di negeri diminta memanfaatkan derma orang ramai bagi meningkatkan kemudahan di masjid tanpa mengharapkan peruntukan kerajaan semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Wan Harujan Sulaiman berkata, mereka tidak harus sekadar berbangga dengan jumlah kutipan yang tinggi sedangkan keadaan masjid terabai.
Katanya, soal kemudahan dan keselesaan di masjid berkenaan tidak begitu diberi perhatian sedangkan ia boleh disediakan atau dibaiki dengan perbelanjaan minimum.
Menurut beliau, hasrat orang ramai menghulurkan derma kepada masjid tentunya untuk dimanfaatkan sepenuhnya dan bukan disimpan.
"Apabila berlaku kerosakan kecil atau masjid memerlukan peralatan, lazimnya jawatankuasa masjid akan mengemukakan permohonan kepada MAIDAM," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerosakan akibat banjir yang melanda Pusat Warga Tua Nurul Saadah di Kampung Tok Dor, dekat sini semalam yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali.
Wan Harujan berkata, ekoran itu, pihak MAIDAM telah membuat beberapa garis panduan sebelum meluluskan sebarang peruntukan kepada masjid yang memohon bantuan berdasarkan beberapa kriteria.
"Masjid yang mempunyai sumber kewangan melebihi daripada RM5,000 tidak lagi dibantu sebaliknya, diminta menggunakan wang derma yang ada dalam akaun masing-masing bagi tujuan tersebut.
"MAIDAM akan hanya membantu jika masjid tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menampung perbelanjaan kerja-kerja sama ada pembaikan atau menyediakan kemudahan kepada orang ramai," ujarnya.
Mengenai kerosakan akibat banjir di kawasan penempatan Pusat Warga Tua Nurul Saadah itu, beliau berkata, bahagian teknikal akan membuat penilaian dan sebarang bantuan akan dimaklumkan kemudian.
Beliau berkata, pihaknya akan tetap membantu tetapi belum menetapkan jumlahnya kerana menunggu laporan yang diterima daripada bahagian itu nanti.
(Petikan Utusan Malaysia Online - 4/1/2012)